Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Teng Siau Shen, 18, yang meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada paru-paru dan bedah siasat mendapati tiada ada unsur lain yang menyebabkan kematiannya.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Pengarah Hospital Tuanku Ja'afar, Dr Jaafar Che Mat hari ini. Teng yang meninggal dunia semalam.

Bercakap dalam sidang akhbar di pejabatnya di Seremban, Dr Jaafar berkata hasil laporan bedah siasat yang dilakukan semalam telah diserahkan kepada keluarga mendiang.

Menurut laporan Bernama, Teng yang mengikuti latihan di Kem Pasir Panjang Port Dickson, dibawa pulang oleh keluarganya ke rumah mereka di Taman Temiang Jaya pada 16 Januari lalu.

Dia dibawa pulang keluarganya setelah dimaklumkan oleh pihak pengurusan kem tersebut bahawa Teng berkeadaan luar biasa dan sering meracau ketika mengikuti latihan.

Dua hari kemudian dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar oleh keluarganya dan diberi rawatan di Unit Psikiatri memandangkan dia pernah dirawat di situ.

Rawatan tradisional

Dr Jaafar berkata, Teng dirawat oleh pakar psikiatri Dr R. Parameswaran dan didapati sihat dan tidak menunjukkan sebarang tanda jangkitan kuman di paru-parunya atau masalah kesihatan yang serius.

"Cuma perwatakannya agak gelisah," katanya.

Beliau berkata doktor pakar kemudian menyarankan kepada keluarganya agar Teng dimasukkan ke wad bagi mendapatkan rawatan susulan tetapi keluarganya menolak kerana mahu mendapatkan rawatan secara tradisional.

Katanya, keluarga Teng kemudian membawanya pulang bagi mendapatkan rawatan secara tradisional tetapi setelah dua minggu, keadaannya menjadi serius.

Keluarganya keluarga membawanya Teng ke hospital tetapi dia meninggal dunia dalam perjalanan pada jam 4 pagi semalam setelah mengalami sesak nafas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan kawasan Temiang, Datuk Lee Yuan Fong, yang juga anggota naziran PLKN Negeri Sembilan berkata, siasatan akan dijalankan dan laporan lengkap kes itu akan diserahkan kepada Pengerusi PLKN, Tan Sri Lee Lam Thye secepat mungkin.