Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Adun Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri bersama beberapa lagi ADUN Selangor akan membawa isu pembinaan Lebuhraya Bertingkat Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu depan.

Syamsul berkata, pihaknya membantah cadangan pembinaan lebuh raya bertingkat sepanjang 34.3km dari plaza Tol NKVE Damansara ke Bukit Jalil.

“Saya tidak tahu sama ada ia untuk kepentingan rakyat, atau kontraktor, atau sesiapa sahaja yang berkaitan dengan cadangan PJD Link.

“Saya tahu isu itu akan dibincangkan dalam majlis mesyuarat negeri akan datang, yang akan diadakan minggu depan.

“Saya dan beberapa adun, termasuk Rajiv Rishyakaran (Bukit Gasing), Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan Lim Yi Wei (Kampung Tunku) akan membawanya bersama-sama dalam mesyuarat kami akan datang,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas protes aman yang diadakan bagi membantah pembinaan lebuh raya tersebut di Bandar Utama pagi ini.

Jurucakap jawatankuasa bantahan memberitahu Malaysiakini kira-kira 80 peserta menyertai bantahan itu.

Cadangan lebuh raya PJD Link dibimbangi merupakan penjenamaan semula projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang telah dibatalkan sebelum ini.

Lebuhraya Kidex merupakan projek lebuh raya bertingkat yang dianggarkan menelan belanja RM2.42 bilion.

Projek itu dirancang pada 2013 tetapi dibatalkan pada 2015 selepas Azmin Ali menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor.

PJD Link adalah antara tiga lebuh raya baru yang diluluskan pada Mei tahun ini bagi menangani isu kesesakan di sekitar Lembah Klang, dengan dua lagi adalah Lebuhraya Putrajaya-Bangi (BPE) dan Lebuh Raya Penyuraian Utara Kuala Lumpur (KL NODE).

Kementerian Kerja Raya pada 5 Julai memaklumkan kabinet telah meluluskan projek PJD Link pada 12 Nov 2017.

Kelulusan itu bagaimanapun tertakluk kepada rundingan lanjut.

Gabungan Menentang PJD Link diketuai Sheikh Moqhtar, menyerahkan memorandum awal minggu ini kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Dia juga meminta majlis presiden PH mengadakan mesyuarat bersama mereka bagi membincangkan kebimbangan dan bantahan penduduk Petaling Jaya terhadap projek tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa yang hadir pada protes itu hari ini berkata PH Selangor menolak cadangan pembinaan lebuh raya tersebut.

“Pendirian Pakatan Harapan Selangor kekal sangat jelas, hitam putih, kami menolak sebarang bentuk lebuh raya yang membawa kembali lebuh raya Kidex,” katanya.

Sebagai salah seorang penduduk Petaling Jaya, Sivarasa membantah pembinaan lebuh raya bertingkat berkenaan yang merentasi kawasan perumahan.

“Kawasan yang dilaluinya (lebuh raya ini) sudah 50 tahun di situ.

“Lebuh raya sepatutnya digunakan untuk menghubungkan bandar atau sekitar bandar, bukan melalui kawasan kediaman yang tidak mampan, mengganggu dan menjejaskan gaya hidup penduduk setempat,” katanya.

Lihat Komen
ADS