Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah perintah Jamal bayar Teresa Kok RM300,000

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos membayar RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapan yang dibuat pada 2017, di mana beliau menuduh ahli parlimen itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah Kok terhadap pemimpin Umno itu.

“... defendan gagal membuktikan pembelaannya.

“(Saya dengan ini memerintahkan defendan membayar) ganti rugi, termasuk ganti rugi am, teruk dan teladan, berjumlah RM300,000.

"Jumlah itu perlu dibayar oleh defendan kepada plaintif dalam tempoh 14 hari dari hari ini,” kata Arief ketika menyampaikan penghakimannya.

Arief turut memerintahkan Jamal, yang tidak hadir ke mahkamah hari ini, membayar RM50,000 lagi sebagai kos, dan mengeluarkan injunksi untuk melarang dia atau ejennya daripada mengulangi dakwaan itu.

Sebelum mengeluarkan perintah tersebut, pesuruhjaya kehakiman bertanya kepada peguam bela Kok, SN Nair mengenai jumlah yang dituntut oleh plaintif sebagai ganti rugi, yang mana peguam itu berkata mereka meminta ganti rugi sebanyak RM800,000.

Mohd Arief kemudiannya bertanya Nair berapa banyak tontonan video ucapan Jamal tersebut.

Menurut Nair, setakat 2017, video itu telah ditonton sebanyak 2,600 kali di Facebook dan 1,800 kali di YouTube.

Selain Kok, Jamal juga mendakwa beberapa ahli politik dari Kuala Lumpur dan Selangor telah menggunakan dana untuk bantuan kebajikan tersebut demikepentingan peribadi.

Dia mendakwa ahli politik itu mengeluarkan wang tunai daripada dana Yawas tetapi tidak pernah mengagihkannya kepada penerima yang layak.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah kemudian, Nair berkata keputusan hakim hari ini adalah "petunjuk jelas" bahawa Kok bukan ahli politik yang korup.

“Malangnya, dia terpaksa menghadapi siasatan SPRM secara sia-sia hanya kerana seseorang membuat laporan.

“Nama ahli politik yang baik tercemar, tetapi kerosakan telah dilakukan,” katanya.

Kok dalam pada itu melahirkan rasa gembira dengan keputusan mahkamah itu dan berharap Jamal tidak mengulangi tuduhan itu pada masa akan datang.

Ahli Parlimen DAP itu juga mengimbau pengalaman pahit yang dilaluinya semasa siasatan SPRM berikutan laporan dibuat Jamal.

"Saya ingin berterima kasih kepada mahkamah kerana membuktikan saya.

“Saya masih ingat ketika Jamal membuat laporan SPRM terhadap saya... Mereka (SPRM) datang ke pejabat saya dan mengambil semua fail dan juga menyoal siasat saya dan pembantu saya beberapa kali.

"Jadi kami terpaksa menjawab pelbagai soalan. Kami terpaksa melalui semua penyeksaan mental ini hanya kerana Jamal membuat laporan terhadap saya.

"Saya terkejut dia tidak muncul (di mahkamah). Saya harap dia tidak akan mengulangi perkara ini lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS