Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Periksalah akaun bank saya' - Dr M nafi terima wang UKSB
Diterbitkan:  Jul 26, 2022 10:50 AM
Dikemaskini: 2:50 AM

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri pengangkutan Chan Kong Choy menafikan menerima dana politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ini susulan dakwaan saksi dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Mahathir memberitahu pemberita di Langkawi semalam bahawa saksi berkenaan perlu menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya.

Mahathir berkata situasi berkenaan tidak sama dengan kes membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

"Kita tunjuk bukti Najib ada pegang duit, ada cek yang dia tandatangani dan ada akaun bank.

"Pergilah periksa akaun bank saya, tiada masalah," katanya lapor Sinar Harian.

Dr Mahathir memberitahu, tiada orang tengah yang digunakan bagi tujuan penerimaan dana yang dikatakan itu.

"Kalau dia bagi pada orang lain, orang itu kata dia akan bagi kepada saya. Yang itu lainlah tapi saya sendiri tak dapat (duit)," katanya.

Semalam, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa lejar rahsia syarikat itu merekodkan pembayaran RM2.6 juta kepada Mahathir melalui anak saudaranya.

Tan berkata demikian ketika disoal balas oleh pasukan pembelaan Zahid, yang merupakan presiden Umno.

Zahid dibicarakan kerana menerima rasuah daripada UKSB.

Selain Mahathir, peguam Zahid turut menyoal Tan mengenai catatan lain dalam lejar di mana Chan, antara lain, dituduh dibayar oleh UKSB.

Menurut The Star, Chan menafikan menerima RM7.8 juta daripada UKSB.

Chan adalah menteri pengangkutan antara 2003 dan 2008.

“Tiada wang sedemikian diberikan kepada saya sebagai pembiayaan politik atau kepada saya secara peribadi,” katanya.

Seperti Mahathir dan lain-lain yang dituduh menerima dana UKSB, Chan berkata dia bersedia untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Lihat Komen
ADS