Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pesawat terhempas di Ipoh, jurulatih penerbangan maut

Seorang jurulatih penerbangan maut manakala seorang lagi cedera dalam nahas pesawat di Ipoh petang tadi.

Menurut maklumat yang diberikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, kejadian jam 8 malam itu menyaksikan sebuah pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah.

Kami menerima panggilan pada 8.10 malam hari ini, dan menghantar anggota penyelamat dari balai bomba dan penyelamat Ipoh ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati sebuah pesawat ringan terhempas di lokasi dan terdapat dua mangsa.

“Seorang daripada mereka terbunuh manakala seorang lagi cedera,” kata kenyataan pihak bomba.

Pihak berkuasa mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa mangsa yang maut bernama Fajim Juffa Mohd Mustafa Kamal, 52, pesara leftenan kolonel Tentera Udara Diraja Malaysia, manakala mangsa yang cedera ialah Muhammad Din Fikri, 62.

Menurut maklumat awam, pesawat itu berdaftar dengan BATS Aviation Sdn Bhd, yang mengendalikan pusat latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu pada kira-kira 8.10 malam.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kedua-dua jurulatih penerbangan bertolak dari sekolah latihan kapal terbang yang terletak berhampiran.

"Mereka dipercayai menaiki pesawat jenis Piper 28 dan cuaca adalah baik ketika kejadian.

"Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan membuat siasatan untuk mengetahui punca kejadian," katanya

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata dia telah mengarahkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian itu secepat mungkin.

"CAAM juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar apabila butiran lanjut dapat dikumpul.

“Saya difahamkan Pusat Operasi Kecemasan CAAM telah diaktifkan pada jam 9 malam ini sebaik difahamkan dua juruterbang terlibat dalam kejadian itu,” katanya di Facebook.

CAAM dalam satu kenyataan berkata mereka menerima panggilan mayday daripada pesawat itu pada 8.07 malam.

"Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Ipoh menerima panggilan pada jam 8:07 malam. Pesawat yang terlibat ialah Piper 28-161, pendaftaran 9M-BAA dan dikendalikan oleh BATS Aviation Sdn Bhd.

“Seorang juruterbang maut akibat kecederaan itu manakala seorang lagi juruterbang mengalami kecederaan parah dan kini menerima bantuan perubatan.

"Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016," kata ketua pegawai eksekutif CAAM Chester Voo.

Lihat Komen
ADS