Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangani isu Bernama untuk perangi berita palsu lebih baik - Geramm
Diterbitkan:  Aug 10, 2022 3:34 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Kumpulan aktivis media bebas, Gerakan Media Merdeka (Geramm), hari ini menggesa Putrajaya segera mengatasi masalah dihadapi agensi berita kerajaan, Bernama, ketika mereka giat menangani ancaman 'wartawan jadi-jadian' serta berita palsu.

Dalam kenyataan dikeluarkan Geramm hari ini, mereka berkata antara isu yang dibangkitkan mengenai agensi berita itu ialah masalah kekurangan kakitangan sehingga menjejaskan kualiti berita.

Pekerja di situ juga dikatakan berdepan masalah berkaitan gaji.

"Kerjaya kewartawanan sememangnya tidak menjanjikan gaji yang lumayan, tetapi masih ramai #kawangeramm yang cuba bertahan atas rasa tanggungjawab, atau seringkali hanya untuk kepuasan peribadi.

"Geramm berpendapat, menjadi tanggungjawab setiap syarikat untuk menjamin hak pekerja, dan dalam konteks ini, hak-hak wartawan menjalankan tugas dengan selamat.

"Ia meliputi hak mendapatkan cuti dan gaji, termasuk kenaikan gaji tahunan sesuai perjanjian (kontrak atau sepenuh masa) bersama syarikat," katanya.

Kenyataan itu dibuat selepas Bernama dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas bekas kakitangannya, Sydney Yap Xi Ni, kerana didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah di media sosial.

Yap sebelum ini membuat hantaran mengenai isu yang dihadapinya sebagai wartawan penyiaran untuk berita Mandarin di Bernama. Dia bagaimanapun sudah meninggalkan agensi berita terbabit.

Jejas peranan media

Kata Geramm mereka bersolidariti dengan Yap dan yakin sesebuah syarikat bertanggungjawab untuk menjamin hak pekerja mereka.

Dalam konteks Bernama, kata Geramm, agensi berita itu perlu memastikan hak wartawan untuk menjalankan tugas mereka dengan selamat terjamin.

"Dengan mengambil kira kekangan kewangan yang mungkin dihadapi oleh syarikat, Geramm percaya sebarang langkah pemotongan kos - termasuk pemotongan gaji atau pembekuan kenaikan gaji - harus dibincangkan dengan pekerja untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua pihak," katanya.

Menurut Geramm, apa yang dibangkitkan oleh Yap itu pada umumnya adalah realiti yang dihadapi oleh warga media di negara ini khususnya selepas Covid-19 melanda.

Pengecilan operasi, kata Geramm, akan menimbulkan tekanan kepada wartawan dan menjejaskan peranan media sebagai sumber maklumat utama kepada rakyat.

"Merujuk kepada pendedahan Yap, Geramm berharap, dalam usaha kerajaan mengatasi lambakan 'wartawan jadi-jadian' atau penyebaran berita palsu, langkah segera akan diambil bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh agensi berita nasional milik kerajaan," katanya.

Lihat Komen
ADS