Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LCS: Kerajaan tak akan kompromi penyelewengan wang rakyat - PM

Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang penyelewengan yang membabitkan wang rakyat khususnya membabitkan isu pembinaan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa supaya menyegerakan siasatan dan mahu pihak bertanggungjawab dalam penyelewengan LCS dibawa ke muka pengadilan.

"Kerajaan telus tidak mahu melindungi apa-apa daripada tatapan umum mengenai isu LCS.

“Kerajaan tak akan kompromi isu berkaitan wang rakyat.

"Kita akan selesaikan siasatan, siapa yang bertanggungjawab kita akan ambil tindakan.

"Tiada siapa akan terlepas daripada tindakan pihak berkuasa," katanya kepada media di Petaling Jaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian selepas merasmikan pembukaan kejohanan Muay Thai @ Surf Beach, Sunway Lagoon.

Terdahulu dalam kenyataannya hari ini, Ismail Sabri berkata kerajaan mencadangkan supaya Laporan audit Forensik Projek LCS pada 2019 dinyahklasifikasikan.

Bagaimanapun, kata perdana menteri proses itu perlu mendapat nasihat Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

“Keputusan jemaah menteri hari ini tidak akan menggangu proses mobilisasi bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah menteri pada 20 April 2022,” katanya dalam kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS