Seorang lelaki hilang dipercayai dibaham buaya ketika sedang melakukan aktiviti memancing di Sungai Pegagau dekat Semporna, Sabah petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Atas Air Semporna Faizal Ahmad berkata mangsa Azman Tugau dilaporkan telah diserang buaya dalam kejadian 3 petang semalam.

“Maklumat mengenai kejadian diperoleh dari rakan mangsa yang bersama-sama memancing, maklumat lain seperti umur mangsa tidak diperoleh dan masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Faizal dalam pada itu berkata pasukan bomba sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian serta menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, Faizal ketika dihubungi pemberita berkata berdasarkan maklumat awal diperolehi mangsa berusia 34 tahun memancing di pinggir sungai bersama sepupunya (maklumat sebelum ini rakan) tanpa menggunakan bot.

“Tiba-tiba mangsa dibaham buaya dan sepupu beliau berjaya melarikan diri, kemudian melaporkan kejadian kepada pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada 8.35 malam tadi, dan disambung semula pada pukul 7 pagi hari ini.

- Bernama