'Pemimpin Umno, ketua bahagian bincang isu semasa'
Ketika butiran sebenar 'pertemuan penting' diatur Umno masih belum diketahui dengan jelas, seorang pemimpinnya menjelaskan ia melibatkan isu semasa.
Malah pertemuan tersebut, kata Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, bersambung semula petang ini.
"Hari ini membincangkan isu-isu semasa.
"Pukul 5.30 petang mesyuarat akan sambung semula," katanya ringas kepada pemberita yang menunggu sebelum terus beredar dari Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur sebentar tadi.
Bangunan tersebut menempatkan Ibu Pejabat Umno Malaysia.
Sementara itu sumber yang enggan didedahkan identitinya menjelaskan, perjumpaan di antara ketua-ketua bahagian Umno seluruh negara dengan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi, ditangguhkan seketika.
Katanya penangguhan tersebut dibuat kerana Ahmad Zahid perlu hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan yang sedang berlangsung.
"Zahid ke mahkamah, maka mesyuarat sambung semula jam 5.30 petang," kata sumber yang menghadiri mesyuarat tersebut.
Dia juga memberitahu pertemuan hari ini dihadiri hampir 140 ketua bahagian.
Turut hadir bekas perdana menteri Najib Razak.
Menjelang tengah hari tadi Ibu Pejabat Umno Malaysia menjadi tumpuan apabila pemimpin akar umbi parti itu berkumpul di situ untuk mengadakan pertemuan penting.
Media tempatan pula melaporkan turut terlibat dalam pertemuan tertutup itu termasuk Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, dan naib presiden Mohamed Khaled Nordin.
Laporan The Star Online pula memetik nama Menteri Besar Perak Saarani Mohamad, Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said, dan anggota Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Sharkar Shamsudin sebagai antara tokoh yang hadir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/05/53dfaf23cc1382d3cf0a4f77fb405b63.jpg)
