Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Keputusan bubar parlimen mesti dibuat semua parti k'jaan
Diterbitkan:  Aug 22, 2022 3:58 PM
Dikemaskini: 8:00 AM

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini berkata sebarang keputusan membubarkan parlimen mesti diputuskan bersama oleh parti yang membentuk kerajaan bersama BN, termasuk komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Menteri alam sekitar dan air itu mengingatkan pentadbiran semasa di bawah teraju Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob "bukan didominasi oleh BN" dan Umno.

"Ia adalah dokongan daripada PN serta rakan GPS. Maka, apa sahaja keputusan untuk membubarkan parlimen mesti diputuskan bersama anggota kabinet serta parti yang mendokong kerajaan.

"Dalam situasi kini, keutamaan bukan hanya kepada menyegerakan pilihan raya sahaja; sebaliknya aspek kepentingan kebajikan rakyat dan isu kedudukan ekonomi negara turut perlu dilihat juga.

"Bukan soal takut atau tidak bersedia parti politik menghadapi pilihan raya umum, tetapi tindakan beberapa pihak yang menekan perdana menteri secara sepihak perlu menyedari realiti kerajaan hari ini," katanya pada satu kenyataan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yakin pihak berkepentingan yang tidak dinamakannya itu akan terus menekan perdana menteri tanpa melihat keadaan parti yang mendokong kerajaan sekarang.

"PAS serta komponan PN telah bersedia dalam semua keadaan, bahkan telah melancar jentera pilihan raya negeri-negeri dan pada 3 Sept ini pelancaran jentera pilihan raya peringkat kebangsaan akan dilancarkan di Kedah sempena Muktamar PAS Pusat.

"Manakala, PN dalam merayakan sambutan dua tahunnya, akan turut melancarkan jentera pilihan raya PN pada 27hb ini," jelasnya.

Terdahulu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kebimbangan terhadap parlimen yang digantung tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menangguhkan PRU15.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu memetik pandangan penganalisis politik Wong Chin Huat yang menjadi penceramah pada Simposium Keluarga Malaysia yang dihadiri Ismail Sabri semalam.

"Profesor sains politik dan demokrasi tersebut menjelaskan bahawa tiada apa-apa yang perlu ditakuti atau dibimbangkan jika berlaku hung parlimen atau parlimen tergantung.

"Keadaan ini bukanlah situasi yang teruk seperti digambarkan pihak tertentu malah tidaklah menyebabkan kemusnahan sesebuah negara atau ekonomi terjejas teruk," kata Zahid.

Pun begitu, Ismail Sabri semalam telah membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan parlimen yang digantung atau situasi tiada satu parti pun akan dapat memperoleh kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tanpa sebarang rakan gabungan.

Selepas pilihan raya umum ke-14, PAS menjadi sebahagian pakatan Muafakat Nasional bersama Umno, dengan kerjasama dalam beberapa pilihan raya kecil sehingga pilihan raya negeri Johor lalu apabila parti itu mengisytiharkan sokongan kepada parti Bersatu dan PN.

Menteri PAS dan Bersatu kekal dalam kerajaan di bawah Ismail Sabri dan BN, walaupun selepas Pengerusi PN merangkap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletak jawatan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS