'Sekongkol dengan Langkah Sheraton adalah kerajaan tak masak'
Pemimpin pembangkang tampil membidas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang melabel kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini sebagai "kerajaan mi segera tidak masak".
Adun Permatang Pasir Faiz Fadzil sebaliknya berkata, tindakan PAS bersekongkol dengan Bersatu dan Umno melalui Langkah Sheraton adalah kerajaan tidak masak kerana tiada manifesto untuk selesaikan masalah rakyat.
"Bagaimana rakyat nak berikan markah kepada prestasi kerajaan hari ini jika tiada manifesto dan inilah sebenarnya kerajaan tidak masak," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu Abdul Hadi dilaporkan berkata PH menjadi kerajaan “mi segera tidak masak” sewaktu mentadbir negara selepas PRU14.
Dalam memberikan perumpamaan itu, Hadi yang juga timbalan pengerusi PN menyebut isu perebutan jawatan perdana menteri yang menurutnya sering dibangkitkan ketika itu, berbanding hal berkaitan negara dan rakyat.
“PH mengambil alih, bercelaru..Sudahlah kerajaan mi segera tak masak, berlaku krisis berebut nak jadi PM, nak jadi pemimpin. (Ia) menyebabkan alpa masalah yang patut diutamakan.
“Kita mengambil alih dalam keadaan teratur, tiada darah yang tumpah, tiada demonstrasi, tak bergaduh rakyat dengan polis.
“Perubahan sangat hebat yang kita lakukan. Tak berlaku krisis berebut (jawatan) PM,” katanya di hadapan kira-kira 1,300 perwakilan yang hadir di Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di Maeps, Serdang semalam.
Sementara itu Faiz yang juga wakil rakyat Amanah berkata, Abdul Hadi tidak boleh lupa dengan bantuan wang ihsan RM400 juta berikan kepada Kelantan adalah daripada kerajaan PH.
Katanya jika kerajaan PH “tidak masak” atau “mi segera” tidak akan ada satu kematangan politik di peringkat PH untuk membayar wang ihsan tersebut.
"Ini kerana Kelantan tidak dibayar pun sebelum itu sejak wang royalti diberhentikan. Begitu juga Terengganu.
"Sebaliknya, PAS lah ibarat mi segera kerana menggunakan wang itu bukannya untuk selesaikan masalah air yang diperlukan rakyat Kelantan," katanya.
Dalam perkembangan itu Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy menyindir Abdul Hadi dengan menyifatkan anggota Parlimen Marang itu sentiasa membuat kenyataan seperti seorang pelawak.
"Saya rasa Presiden PAS sudah ketandusan idea sehinggakan dia sentiasa membuat kenyataan pelik.
"Dia tidak boleh menggunakan metafora yang betul untuk menggambarkan kerajaan PH apabila dia kata kerajaan PH ketika berkuasa adalah seperti ‘kerajaan mi segera’.
"Keseluruhan idea di sebalik penggunaan mi segera ialah ia dimasak dengan cepat, dalam masa beberapa minit berbanding penggunaan mi biasa.
"Untuk mengatakan bahawa mi segera adalah sama dengan mi yang belum dimasak, sebenarnya salah," kata Ramasamy.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/06/bd4eccc5caf116e92cc194ec9bfda111.jpg)
