Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukit Aman siasat Hadi susulan kenyataan terhadap bukan Islam
Diterbitkan:  Aug 28, 2022 10:25 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Polis hari ini mengesahkan siasatan berterusan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang kerana mengaitkan bukan Islam dan bukan Bumiputera dengan rasuah di negara ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A Skandaguru berkata siasatan sedang dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas (D5) Bukit Aman berdasarkan 28 laporan polis.

Abdul Hadi disiasat mengikut Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan berhubung kenyataan dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2008 kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian komunikasi.

"Siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh menganggu proses siasatan.

"PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum yang boleh menggugat keharmonian dalam masyarakat," kata Skandaguru pada satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Ogos, Abdul Hadi membuat hantaran di Facebook dan menyalahkan orang Melayu kerana bersikap tidak peduli terhadap undi mereka, menyebabkan bukan Melayu dan "liberal" menguasai kuasa politik negara pada pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata untuk menangani penyakit rasuah, ia wajib dilakukan secara holistik supaya tidak menjadi wabak apabila diambil tindakan yang tidak menyeluruh sehingga ke akar umbinya.

"Khususnya, terhadap mereka yang menjadi punca rasuah kerana mengejar harta secara haram.

“Sehinggakan, dalam kalangan mereka itulah yang menguasai ekonomi negara lalu menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

“Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan Bumiputera,” kata Hadi.

Antara mereka yang membuat laporan polis terhadap Hadi termasuk DAP, selain beberapa NGO yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.

Lihat Komen
ADS