Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekat tokoh terpalit rasuah jadi calon: Annuar serah pada MKT Umno

Bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti berhubung saranan supaya tokoh terpalit kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah perlu disekat daripada menjadi calon pilihan raya.

Pun begitu, menteri komunikasi dan multimedia itu berkata ketetapan sebegitu pernah dibuat Umno pada 2009 tetapi berhubung perkembangan semasa Majlis Kerja Tertingi Umno masih belum membuat apa-apa keputusan.

“Yang dicadangkan itu dalam muktamar sebuah parti politik, saya fikir normal untuk kemukakan cadangan-cadangan yang mungkin ada satu cadangan yang baik tapi kalau dalam sudut Umno, itu kita serahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung Umno (PAU).

“Kecuali pada tahun 2009, majlis tertinggi ada buat satu keputusan sewaktu Datuk Seri Najib baru ambil alih...

"Kalau tak silap saya dulu, ada satu ketetapan dibuat bahawa kalau ada mereka-mereka yang ada (kes) di mahkamah, mereka hendaklah digantung dulu daripada jawatan masing-masing.

“Tapi tu lama dulu pada 2009, saya masih ingat ada keputusan itu. Tapi untuk pada masa ini, majlis tertinggi tidak menguatkuasakan peraturan tersebut.

“Jadi sebagai anggota parti, saya mematuhi apa yang diputuskan oleh parti, hal dasar hanya boleh diputuskan oleh perhimpunan agung dan juga majlis tertinggi Umno,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam hari ini.

Annuar berkata demikian selepas ditanya mengenai cadangan Ketua Dewan Ulama PAS Ahmad Yahya (gambar, bawah) dalam Muktamar Dewan Ulama PAS semalam.

Ahmad semalam menyuarakan cadangan agar kerajaan mengetatkan lagi syarat untuk seseorang individu layak dipilih sebagai calon pilihan raya.

Kata Ahmad, mereka yang sedang dibicarakan di mahkamah atas kes salah laku, penyelewengan dan rasuah tidak wajar diberi peluang untuk bertanding.

Ini, jelasnya kerana dibimbangi mereka akan menggunakan kedudukan yang dimenangi selepas pilihan raya untuk mengelak daripada dikenakan tindakan.

"Dalam aspek ini kita mengharapkan agar kes-kes melibatkan rasuah dan salah laku para pemimpin parti politik dapat disegerakan perbicaraannya di mahkamah supaya proses pembersihan pemimpin politik dapat dilakukan dengan efektif," kata ulama PAS itu lagi.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Ketereh berkata status sebenar peraturan itu sewajarnya dijawab oleh mereka yang mempunyai kuasa di dalam parti.

“Saya percaya penjawat jawatan sekarang mempunyai wibawa sendiri untuk menentukan dasar-dasar semasa sebab dalam perlembagaan parti, hal ini menjadi tanggungjawab kepada majlis tertinggi Umno untuk memutuskan.

“Jadi saya tak boleh kata ‘ya’ ataupun ‘tidak’. Saya tak ada locus standi.

“Hanya sebagai bekas setiausaha agung, saya fikir saya tak ada locus standi untuk maklumkan apa kedudukannya sekarang. Elok dirujuk kepada penjawat jawatan,” kata Annuar lagi.

Lihat Komen
ADS