Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah tolak saman fitnah RM2 juta Zamihan terhadap Mufti Perlis

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah yang dikemukakan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja), Dr Zamihan Mat Zin terhadap Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Semasa prosiding di dalam talian hari ini, pesuruhjaya kehakiman John Lee Kien How @ Mohammad Johan Lee memutuskan Zamihan gagal membuktikan salah satu daripada tiga unsur dalam saman fitnah berkenaan iaitu penerbitan artikel yang didakwa berunsur fitnah.

Pesuruhjaya kehakiman itu berkata plaintif gagal memanggil penulis artikel berkenaan, yang diterbitkan antara 2018 dan 2019.

Selain pembuktian penerbitan artikel berkenaan, unsur lain dalam saman fitnah itu ialah kenyataan yang merujuk kepada plaintif, serta kenyataan yang dikatakan telah memfitnah plaintif.

Lee berkata Zamihan juga gagal menghubungi wartawan yang membuat liputan forum pada 2019 di mana Asri didakwa mengeluarkan kata-kata fitnah yang dikatakan menjadi asas kepada artikel itu.

Pesuruhjaya kehakiman kemudian menolak saman sivil tersebut dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Asri, yang turut hadir semasa prosiding hari ini.

Zamihan yang tidak lagi diwakili peguam memaklumkan mahkamah akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohd Asri diwakili peguam Mohd Faizal Abdul Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Basri.

Zamihan Mat Zin yang sebelum ini bertugas dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) memfailkan saman sivil itu pada 16 Julai 2019 berhubung kenyataan Mohd Asri yang disiarkan media.

Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa Mohd Asri mengeluarkan dua kenyataan fitnah berhubung kedudukan, profesion dan kerjayanya.

Kenyataan pertama itu didakwa dibuat melalui artikel dalam talian bertajuk “Bukan Perlis sahaja” yang dimuat naik di portal berita pada 14 Okt 2018.

Kenyataan kedua diucapkan dalam forum berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (Sosma 2012) bertajuk “Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa” yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, Selangor, pada 9 Februari 2019.

Zamihan mendakwa kenyataan defendan adalah tidak benar dan membayangkan dia tidak berintegriti, berbohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum-hukum Islam yang karut dan tidak benar serta suka mengkafirkan orang Islam.

Plaintif mendakwa kenyataan itu berniat jahat dan mendedahkannya kepada kebencian dan cemuhan umum.

Zamihan menuntut sebanyak RM2 juta sebagai ganti rugi am, serta ganti rugi teruk dan teladan; permohonan maaf daripada Mohd Asri; injunksi untuk menghalang defendan daripada terus memfitnahnya; serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan kertas kausa, kenyataan Mohd Asri didakwa menyentuh isu berkaitan kedai dobi khusus kepada orang Islam di Johor pada 2017.

Bagaimanapun dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 30 Ogos 2019, Mohd Asri antara lain menegaskan kenyataannya adalah komen yang adil dan berdasarkan fakta yang benar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS