Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir akibat hujan lebat di pantai barat Sabah

Hujan lebat berterusan petang ini menyebabkan beberapa lokasi sekitar pantai barat Sabah terutama di daerah Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang dilanda banjir.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan yang banjir di Kota Kinabalu termasuk Likas, Tebobon, Sepanggar dan Manggatal; di Tuaran pula termasuk Telipok, Rugading dan Gayang manakala di Penampang kawasan yang terjejas antaranya ialah Donggongon, Bundusan dan Sugud.

Banjir juga menenggelamkan jalan raya sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas manakala kenderaan yang diletak di tepi jalan dan tingkat bawah beberapa premis kedai turut ditenggelami air.

Keadaan itu turut mengakibatkan beberapa laluan utama sesak antaranya Jalan Menggatal Tebobon serta Jalan Sepanggar di Kota Kinabalu, Jalan Salut di Tuaran dan Jalan Panglima Banting di Penampang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah Misran Bisara berkata setakat ini, pihaknya menerima satu laporan mengenai banjir di Kampung Mansiang, Menggatal melibatkan sembilan mangsa banjir dan jabatan itu serta pihak berkuasa lain sedang memberikan bantuan perlu.

Misran berkata dalam kejadian pada 3.27 petang itu, dua rumah telah dinaiki air dan mangsa banjir yang terperangkap berjaya dikeluarkan oleh anggotanya sebelum dipindahkan ke kawasan lebih selamat.

“Kami bersama pihak berkuasa lain sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang situasi banjir dan sudah melakukan persediaan daripada awal, justeru kita meminta orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika cuaca tidak menentu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata pihaknya juga menasihati orang ramai supaya sentiasa mengetahui di mana ahli keluarga mereka ketika situasi cuaca tidak menentu ini selain meminta bantuan pihak berkuasa jika berdepan kesulitan ketika bencana.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Sabah, ketika dihubungi, pula berkata setakat ini terdapat laporan kawasan terjejas di daerah Penampang dan pusat pemindahan banjir akan dibuka bagi menempatkan mangsa terlibat.

Beliau berkata selain Jalan Panglima Banting, satu lagi laluan iaitu Jalan Sugud di daerah itu hanya boleh dilalui kenderaan berat manakala Jalan Maang yang dinaiki air masih boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Bacaan paras air di sungai antaranya Sungai Moyoq mendapati paras air sungai pada tahap berbahaya dan penduduk kawasan berhampiran telah dinasihatkan supaya sentiasa dalam keadaan waspada,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini telah mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah serta Labuan pada 6.10 petang.

“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di kawasan terlibat sehingga 10 Okt,” menurut kenyataan itu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS