Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Presiden MIC beri gambaran tidak semestinya tanding Sg Siput

Presiden MIC S Vigneswaran memberi gambaran bahawa dia tidak semestinya bertanding di Sungai Siput, kubu kuat partinya, dan sebaliknya diletakkan di kerusi yang lebih dekat dengan Lembah Klang.

Sebelum ini dilaporkan Vigneswara akan bertanding di Sungai Siput di Perak.

Bagaimanapun, ketika ditanya baru-baru ini dia berkata "Kena tunggu pengumuman. Semua benda boleh berubah. Mungkin di kerusi yang dekat sedikit," katanya.

Diminta menjelaskan sama ada dia merujuk kepada kerusi yang dekat dengan Sungai Siput atau Lembah Klang, Vigneswaran berkata: "Kedua-duanya."

Untuk rekod, Dr Michael Jeyakumar Devaraj dari PSM menewaskan mendiang S Samy Vellu, presiden MIC sebelum ini, pada Mac 2008.

Samy Vellu sebelum itu berkhidmat sebagai ahli parlimen Sungai Siput selama lapan penggal bermula September 1974.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1959, presiden pertama MIC, VT Sambanthan, merupakan yang pertama memenangi kerusi itu.

Penyandang MP Sungai Siput sekarang ialah S Kesavan dari PKR, yang menewaskan SK Devamany dari MIC pada 2018.

Berhubung kemungkinan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan (PH), PSM, dan MIC, Vigneswaran menegaskan pengundi Sungai Siput maklum dengan rekod setiap parti.

“Sesiapa sahaja boleh menyertai proses demokrasi. Semoga rakyat Sungai Siput memilih calon yang terbaik.

“Penduduk di Sg Siput menyedari apa yang telah mereka capai selepas 15 tahun mempunyai ahli parlimen PKR di sana, berbeza dengan sebelum itu," katanya sambil merujuk kepada penguasaan MIC di kerusi itu sebelum 2008.

Ketika disoal sama ada MIC mempunyai peluang cerah untuk memenangi semula kerusi itu, Vigneswaran berkata kepada Malaysiakini bahawa parti itu tidak akan bertanding pada pilihan raya 2008 jika percaya ia tidak mempunyai peluang.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang, MIC dilaporkan bersiap sedia untuk bersaing bagi merebut sembilan kerusi parlimen dan 18 kerusi DUN.

Setakat ini, parti itu hanya memegang satu kerusi parlimen, iaitu Tapah, yang disandang oleh M Saravanan, timbalan presiden MIC.

Lihat Komen
ADS