Musa: Kertas siasatan baru akan dibuka jika ada asas
Polis akan membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor jika ada asas terhadap dakwaan rasuah dan kepentingan perniagaan yang dilemparkan terhadapnya.
Polis akan membuka kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Zulkipli Mat Noor jika ada asas terhadap dakwaan rasuah dan kepentingan perniagaan yang dilemparkan terhadapnya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata setakat ini tiada laporan polis dibuat terhadap Zulkipli berkenaan dakwaan itu, tetapi ia tetap diteliti.
"Saya dan Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) tengah tengok dakwaan berkenaan rasuah (itu) dan berbincang dengan pihak peguam negara.
"Tengok keadaan sama ada akan buka siasatan baru kerana masih mengkaji tuduhan dan dakwaan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas lawatan ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan hari ini.
Menurut laporan Bernama, Musa berkata siasatan menjurus sama ada Zulkipli membuat pengisytiharan terhadap hartanya dan sama ada beliau dibenarkan berniaga.
"Ini hanya dakwaan sahaja kita kena tengok sama ada dia isytihar atau tidak apabila ada harta semua ini. Kalau dia isytihar tak ada kesalahan apa-apa sebab dia isytihar," katanya.
'Kena siasat dulu'
Ditanya sama ada pegawai kerajaan dibenarkan berniaga, beliau berkata sekiranya ada kebenaran, tidak timbul masalah.
"Kalau bukan dia yang berniaga, anak dia punya, kena siasat dulu...," katanya.
Dakwaan terhadap Zulkipli itu terkandung dalam satu laporan oleh bekas pegawai kanan BPR kepada Ketua Polis Negara sebelum ini, Tan Sri Bakri Omar, yang didedahkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak).
Laporan itu dibuat oleh bekas pegawai BPR berkenaan, Mohamad Ramli Manan, yang bersara pada 8 Disember lalu, yang mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya.
Zulkipli didakwa memiliki beberapa kepentingan dalam pelbagai perniagaan dan hartanah termasuk enam buah rumah di Pagoh, Johor dan menyalahgunakan kenderaan kerajaan.
Beliau pernah berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 20 tahun dan menjadi Ketua Polis Johor pada 1996 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak pada 2000.
Beliau mula memegang jawatan Ketua Pengarah BPR pada 2001 dan perkhidmatannya disambung secara pinjaman sebanyak tiga kali.

