Pengendalian pilihan raya ketika musim banjir bukanlah suatu masalah bagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berpengalaman dalam mengendalikan banyak pilihan raya.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Ahmad Wan Omar, apabila ditanya berkenaan kritikan berhubung mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ketika musim tengkujuh.

“Jarang pusat mengundi sekolah-sekolah tenggelam atau pilihan raya dihentikan kerana musim tengkujuh.

“Sekarang ini rakyat berdepan dengan masalah ekonomi dan kehidupan maka itu diadakan pilihan raya untuk rakyat menilai dan memilih sebuah kerajaan yang baru,” katanya ketika sesi temu bual secara langsung bersama Umno Online malam tadi.

Menurut Wan Ahmad, pihak yang membantah pilihan raya diadakan tahun ini hanya menggunakan banjir sebagai alasan.

“Parti politik yang membantahnya (pilihan raya tahun ini) mungkin disebabkan mereka tidak bersedia, mereka mahukan masa lebih untuk berkempen dan (jadikan) banjir sebagai alasan.

“Mengikut pengalaman, SPR sudah peka dengan lokasi sekolah-sekolah (yang digunakan sebagai pusat mengundi) dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap faktor cuaca,” katanya.

SPR sudah bersedia

Wan Ahmad menekankan SPR sudah bersedia untuk menjalankan tugas seperti ketika mengendalikan PRU14 dengan mendepani pelbagai cuaca.

“Kalau nak dibangkitkan tentang cuaca, perkara itu tak perlu dirisaukan sebab SPR sebenarnya telah memberikan latihan yang cukup kepada para petugas daripada peringkat penamaan calon sehingga peringkat mengundi.

“Latihan begitu rapi dan terperinci kepada petugas tersebut seperti latihan amali sebagai contoh PDM (Pusat Daerah Mengundi) naik air, saluran kekecohan berlaku, pergaduhan ataupun lampu padam dan semuanya telah dilalui oleh SPR. Ada SOP tatacara dan kerja yang diberi latihan kepada para petugas yang menjalankan tanggungjawab di jawatan masing-masing.” katanya.

Wan Ahmad menegaskan SPR memikul tanggungjawab besar memaklumkan keputusan pilihan raya terhadap rakyat.

“Pilihan raya tidak boleh gagal, kalau pilihan raya gagal… rakyat tidak tahu keputusan.

“Apabila keputusan tidak dapat diumumkan dan tidak tahu parti mana yang memerintah untuk menjadi kerajaan maka tugas ini begitu besar dan SPR tidak ambil perkara remeh,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, SPR dijangkakan bermesyuarat pada 20 Okt ini di ibu pejabat Putrajaya bagi menentukan tarikh PRU ke-15.