Jais serbu pejabat Rufaqa Corporation di Rawang
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyerbu pejabat Rufaqa Corporation yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam yang diharamkan, di Bandar Country Homes, Rawang tengahari tadi.
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini menyerbu pejabat Rufaqa Corporation yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam yang diharamkan, di Bandar Country Homes, Rawang tengahari tadi.
Pegawai penguatkuasa Jais telah mengoyak poster dan papan tanda yang bertulis perkataan 'Rufaqa'. Buku-buku dan poster mengenai Pengerusi Eksekutif Rufaqa, Ashaari Muhammad, turut dirampas.
Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rahman Palil memberitahu pemberita bahawa serbuan tersebut dibuat mengikut warta kerajaan negeri yang mengharamkan publisiti bahan-bahan mengenai kumpulan al-Arqam yang diharamkan serta Rufaqa Cooperation
"Dia nak berniaga, berniagalah. Janganlah gantung lambang Rufaqa. Jangan gantung gambar Ashaari...kita dah haramkan," kata Abdul Rahman.
Ashaari, yang dipanggil Abuya di kalangan pengikutnya, merupakan bekas pemimpin kumpulan al-Arqam yang didakwa sebagai kumpulan sesat.
Patuh arahan
Pihak berkuasa mendakwa Rufaqa Corporation yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan, digunakan untuk menghidupkan semula kumpulan al-Arqam.
Rufaqa Corporation kemudiannya diharamkan pada 21 Disember 2006. Ini merupakan serbuan ketiga oleh Jais ke atas premis perniagaan Rufaqa.
Banyak premis perniagaan di sekitar kawasan tersebut ditutup ketika serbuan itu dibuat pada jam 3.30 petang. Bagaimanapun, pegawai Jais telah memecah masuk ke dalam sebuah mini-market.
Antara premis yang diserbu termasuk sebuah restoran, surau dan klinik. Semua pemilik atau penjaga premis berkenaan mematuhi arahan pegawai penguatkuasa yang membuat serbuan tersebut.
Malah, seorang kakitangan klinik berkenaan kelihatan menyajikan minuman kepada pegawai yang membuat serbuan tersebut.
Menurut Abdul Rahman, tiga orang telah ditahan untuk tujuan penyiasatan, tetapi tidak mendedahkan identiti mereka.
Pada 28 Disember 2006, Rufaqa Corporation telah memfailkan saman malu RM150 juta terhadap Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustapha Abdul Rahman, Abdul Rahman dan Zabidi Shariff, bekas penasihat undang-undang al-Arqam.

