Pemimpin PKR tampil menempelak bekas menteri besar Selangor Azmin Ali, susulan tindakannya membidas prestasi kerajaan negeri Selangor selepas meninggalkan jawatan itu pada 2018.

Azmin, yang mendalangi beberapa siri pembelotan daripada PKR sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada 2020, mendakwa prestasi ekonomi negeri itu merudum selepas zamannya.

Di sebalik tidak akan menyaksikan pilihan raya negeri bersama pilihan raya umum yang dijangkakan bulan depan, prestasi kerajaan Selangor pimpinan PKR menjadi sasaran kerana ia adalah peneraju kepada keupayaan parti itu untuk mentadbir.

Ini menyaksikan tiga pemimpin PKR tampil mempertahankan Menteri Besar Amirudin Saari, dengan mengeluarkan tiga kenyataan media berasingan untuk membuktikan prestasi kerajaan negeri Selangor jauh lebih baik berbanding semasa pentadbiran Azmin.

Halimey Abu Bakar, Ketua Penerangan PKR Selangor

Satu petunjuk, kata ketua penerangan PKR Selangor Halimey Abu Bakar, adalah rizab negeri, yang semakin bertambah semasa di bawah pengawasan Amirudin.

Halimey berkata apabila Azmin mula memegang jawatan itu pada 2014, selepas Khalid Ibrahim, rizab negeri adalah RM3.2 bilion tetapi selepas dia ditukarkan pada Mac 2018, ia hanya RM2.8 bilion.

Hari ini, rizab negeri berjumlah RM3.4 bilion -- meningkat RM600 juta sejak 2018, walaupun kerajaan negeri membelanjakan pelbagai program kebajikan dan mengalami kemerosotan ekonomi akibat Covid-19, katanya.

Antara program yang dilaksanakan di Selangor termasuk vaksin Covid-19 dan program saringan, bagi menampung kekurangan oleh kerajaan persekutuan, kata Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat.

Kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kebajikan sehingga RM3,600 setahun bagi setiap isi rumah yang layak, susulan kelembapan ekonomi pasca pandemik, serta tindakan sokongan bagi menstabilkan harga untuk mengurangkan kesan kenaikan inflasi, katanya.

Chua Wei Kiat, Timbalan Ketua Penerangan PKR

Ini berbeza dengan kerajaan persekutuan yang memuji diri sendiri selepas memaksa rakyat mengeluarkan simpanan persaraan mereka sendiri, katanya.

“Selangor berada dalam kedudukan kewangan yang stabil dan kukuh walaupun banyak inisiatif dan program dijalankan, tidak seperti kerajaan persekutuan yang hanya berjaya menaikkan hutangnya sebanyak RM1.36 trilion pada tahun ini sahaja.

“Inilah perbezaan antara kerajaanyang bersih berbanding pencuri,” katanya.

“Jadi sebelum Azmin nak tuduh sebarangan, dia kena cari cermin untuk tengok muka dia sendiri dulu.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Selangor Adzman Kamaruddin berkata kenyataan Azmin itu hanyalah percubaan terdesak untuk menyelamatkan kerjaya politiknya, yang semakin lesu selepas dia meninggalkan Pakatan Harapan.

“Rakyat telah menyaksikan kegagalan demi kegagalannya sejak menjadi menteri kabinet, bahawa tiada apa yang perlu dia tunjukkan selain retorik.

"Pada PRU akan datang, kita akan saksikan dia akan dihukum di kawasan parlimennya di Gombak akibat ketamakan dan kegilaan kuasanya itu,”katanya.

Semalam, Amirudin menempelak Azmin dengan mempamerkan sumbangan negeri kepada tabung persekutuan itu meningkat dalam tempoh empat tahun sejak dia mengambil alih.

Amirudin adalah sekutu rapat Azmin sebelum 2020, tetapi, tidak seperti Azmin, dia tidak berpaling tadah semasa langkah Sheraton ketika itu.

[Baca berita asal]