Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO mohon bantuan China bantu selamatkan rakyat Malaysia di Myanmar

Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memohon bantuan China untuk membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) dan Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) menyerahkan memorandum mengenai perkara itu kepada Kedutaan China di Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung MHO Hishamuddin Hashim berkata kepada pemberita di luar kedutaan itu bahawa hubungan baik antara China dan Myanmar boleh memberi kelebihan dalam memujuk Myanmar untuk membantu melepaskan rakyat Malaysia yang terlibat.

Katanya, beberapa ratus rakyat Malaysia telah terperangkap di Myanmar sejak awal tahun ini selepas ditipu sindiket itu.

Hishammuddin berkata NGO itu telah memohon bantuan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini minggu lepas, bagi membantu membawa balik rakyat Malaysia di Myanmar.

“Hari ini, bersama-sama keluarga mangsa, kami merayu bantuan China,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia untuk mencadangkan Mesyuarat ASEAN Campur Tiga diadakan, bertujuan menghapuskan perdagangan manusia di rantau ini.

ASEAN Campur Tiga merangkumi 10 negara ASEAN serta China, Jepun dan Korea Selatan.

Selain itu, Hishamuddin berterima kasih kepada kerajaan Laos dan Kemboja atas pertolongan mereka membantu menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada sindiket penipuan pekerjaan di kedua-dua negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilapor berkata 273 mangsa telah diselamatkan di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmar mulai April hingga Oktober ini daripada 401 kes yang dilaporkan kepada kerajaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS