PBS akan cadang 3 TPM sebagai agenda pertama Majlis Khas MA63
Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mencadangkan pelantikan tiga timbalan perdana menteri (TPM) untuk Malaysia, sebagai agenda pertama Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63), selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kata Presidennya Dr Maximus Ongkili.
Sambil menyambut baik cadangan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi semalam, Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) mengambarkan perkara itu sebagai sesuatu yang sepatutnya telah lama dilaksanakan.
Ongkili tegaskan bahawa PBS sebagai ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong penuh cadangan itu, dan menambah bahawa menjadikannya satu kenyataan merupakan selaras dengan peruntukan perlembagaan untuk memberikan Sabah dan Sarawak status yang sama dalam Persekutuan Malaysia.
“Ia akan mengambarkan Malaysia yang baharu. Ia akan menjadi satu langkah kehadapan yang besar untuk Persekutuan Malaysia, dan saya konfiden ia akan dipersetujui sepenuhnya oleh MKMA63,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ahmad Zahid sebelum ini mencadangkan tiga jawatan TPM diwujudkan bagi mewakili Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, jika BN memenangi PRU15 dengan dominan.
Beliau berkata BN Sabah dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya cadangan ini dimasukkan ke dalam manifesto BN dan GPS untuk PRU15.
Ongkili berkata perkara berkaitan pelantikan timbalan perdana menteri bagi Sabah dan Sarawak telah dibincangkan dalam MKMA63 berikutan permintaan orang ramai, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak, agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan cadangan tersebut.
“Malah Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu sedang meneliti perkara tersebut dalam soal status sama rata untuk Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan,” katanya.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/55ae0483852410bd2dfcf1a320afa3f9.jpg)
