Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Rakaman RTM sebelum Najib masuk penjara'
Diterbitkan:  Oct 25, 2022 11:01 AM
Dikemaskini: 3:09 AM

Jabatan Penjara Malaysia menegaskan bahawa tiada sebarang rakaman video membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak oleh mana-mana agensi media di premis penjara seperti dakwaan yang tular.

"Hasil semakan menunjukkan video tersebut telah dirakam lebih awal oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Kembara Keluarga Malaysia episod 57 iaitu sebelum Najib dipenjarakan.

"Video yang ditayangkan TV1 pada 24 Oktober lalu menceritakan tentang sejarah dan latar belakang Pekan, Pahang dan tidak berkaitan dengan politik," kata jabatan itu dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu sekeping gambar Najib yang memaparkan dia sedang bersiaran di televisyen tular di media sosial.

Penyandang ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan SRC International Sdn Bhd.

Beberapa pengguna media sosial yang memuat naik gambar berkenaan dilihat mempersoalkan bagaimana seorang berstatus banduan boleh bersiaran di televisyen.

Malah ada juga yang mendakwa Najib turut berkempen melalui tayangan video berkenaan.

Sementara itu Jabatan Penjara Malaysia menasihat agar orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tanpa semakan lanjut.

"Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas individu yang tidak bertanggungjawab," kata kenyataan itu.

Lihat Komen
ADS