Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah pertaruh pemimpin pemuda di Temerloh, Tasek Gelugor

Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka mempertaruhkan Ketua Pemudanya Hasbie Muda (gambar atas, kiri) dalam usaha mempertahankan kerusi parlimen Temerloh pada PRU ke-15 nanti.

Selain itu sumber memaklumkan, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan pula akan diturunkan buat kali pertama bagi kerusi parlimen Tasek Gelugor.

"Ini adalah satu mandat besar yang digalaskan Hasbie bagi menggantikan penyandang parlimen Temerloh Anuar Tahir yang dikatakan tidak bertanding kali ini kerana faktor kesihatan.

"Pencalonan kedua-dua mereka ini juga sekali gus merealisasikan hasrat Pemuda Amanah agar mereka diberikan kerusi gred A pada pilihan raya umum kali ini," kata sumber dalaman Amanah yang enggan namanya disiarkan, hari ini.

Pada PRU ke-14 lalu, parlimen Temerloh dimenangi Anuar dengan 1,904 undi menewaskan calon daripada BN dan PAS. Bagi Parlimen Tasek Gelugor pula ia dimenangi calon BN Shabudin Yahaya yang kemudiannya menyertai parti Bersatu.

Selain itu pada pilihan raya umum lalu, Hasbie mencuba nasib dengan bertanding di kerusi dewan undangan negeri (DUN) Paka dan tewas kepada calon daripada PAS.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Amanah dijangka akan bertanding 56 kerusi parlimen di seluruh negara pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 nanti.

Jumlah itu bertambah sebanyak 29 kerusi berbanding bilangan calon Amanah yang bertanding pada PRU ke-14 lalu.

Lihat Komen
ADS