Debat calon PM: Nak beli barang pun kena tengok kualiti - Syed Saddiq
Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas pandangan yang mengatakan debat awam bukan sebahagian daripada budaya Malaysia.
Syed Saddiq memetik debat antara Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim dan Pengerusi Lembagai Penasihat BN Najib Razak pada Mei lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, Syed Saddiq berkata debat awam adalah amalan yang sihat kerana saingan akan dapat membincangkan idea berdasarkan fakta dan data.
"Kita kalau nak beli barang pun tengok kualiti. Jangan nanti barang order (pesanan) dengan barang sampai lain.
"Sebagai pemimpin kena berani menjawab tak kisah dari lawan ataupun rakyat. Pemimpin kena tunjuk pelan dasar dan polisi untuk hala tuju negara.
"Kena tunjuk pemimpin yang bakal memimpin Malaysia ada kredibiliti. Tunjuk kepada rakyat yang bakal PM kita ini berani ambil sebarang cabaran.
"Barulah rakyat confident (yakin) nak mengundi calon mana nanti. Saya sokong debat antara calon-calon PM diadakan," katanya.
Anwar sebelum ini mencadangkan debat antara semua calon perdana menteri tetapi calon BN, Ismail Sabri Yaakob menolaknya hari ini.
Menurut Ismail Sabri, debat bukanlah sebahagian daripada budaya pilihan raya Malaysia.
Malaysia tidak pernah menyaksikan perdebatan antara calon yang bersaing untuk jawatan perdana menteri.
Pada 12 Mei, Najib dan Anwar terlibat dalam debat yang disiarkan secara langsung di televisyen mengenai Sapura Energy Bhd (SEB).
Najib memihak kepada idea bailout kerajaan terhadap syarikat itu manakala Anwar menentangnya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/04/af57aa19ee1ca7ec090cf44be66f15c3.jpg)
