Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam Guan Eng akan hantar surat saman pada Tajuddin
Diterbitkan:  Oct 27, 2022 12:55 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penyandang parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.

Ini susulan dakwaan Tajuddin bahawa ketika Lim menerajui Kementerian Kewangan, kementerian itu menjadi seperti tokong Cina yang tidak disenangi orang Melayu.

Lim memberitahu sidang akhbar di Pulau Pinang hari ini bahawa peguamnya akan menghantar surat tuntutan kepada Tajuddin.

“Saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana ini memang suatu fitnah,” katanya.

Lim tidak mendedahkan terma surat tuntutan itu, atau berapa lama masa yang dia akan berikan kepada Tajuddin untuk menjawab sebaik surat tuntutan itu dihantar.

Minggu lalu, semasa forum Sinar Harian, Tajuddin menuduh Lim meminggirkan orang Melayu di Kementerian Kewangan.

"Berapa ramai pegawai Melayu yang dibuang? Pejabat menteri kewangan dah jadi macam tempat tokong Cina. Banyak pergi pakai seluar pendek.

"Mana ada orang Melayu boleh pijak tangga atau masuk dalam pejabat Kementerian Kewangan pada masa itu?" kata Tajuddin.

Lim - yang juga pengerusi DAP - berkata satu-satunya masa tanglung Cina digantung di Kementerian Kewangan semasa dia memegang jawatan ialah semasa Tahun Baru Cina.

Begitu juga, katanya ketupat digantung semasa Aidilfitri, dan lukisan 'kolam' dibuat untuk Deepavali.

Lim berkata kenyataan Tajuddin itu adalah percubaan jelas untuk menjadikan kempen pilihan raya umum ke-15 sebagai kempen perkauman.

“Saya amat sedih kempen itu bertumpu pada kaum dan agama, dan langsung tidak menyentuh ekonomi,” katanya.

Dia berkata ahli politik sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada isu seperti kejatuhan ringgit.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS