Penyandang parlimen Klang Charles Santiago dan seorang pengundi Pandan gagal dalam usaha undang-undang mereka untuk menghalang pilihan raya umum (PRU) ke-15 diadakan pada musim tengkujuh.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang tadi menolak saman pemula oleh pemimpin DAP itu serta permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh pengundi Pandan Syed Iskandar Syed Jaafar (gambar atas).

Keputusan itu disampaikan oleh hakim Ahmad Kamal Md Shahid dalam tindakan undang-undang yang menamakan perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan sebagai responden.

Hakim memutuskan bahawa perkara pembubaran Parlimen bukan perkara yang merangkumi kuasa badan kehakiman.

Sebelum ini, pasukan peguam responden berpendapat bahawa cabaran undang-undang adalah akademik kerana PRU15 telah pun ditetapkan pada 19 Nov.

Sebelum ini, pasukan peguam responden berpendapat bahawa cabaran undang-undang itu adalah akademik kerana PRU15 telah pun ditetapkan pada 19 Nov.

Semasa prosiding dalam talian hari ini, Kamal berkata bahawa kedua-dua tindakan undang-undang itu melibatkan isu yang mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengarnya kerana ia dikaitkan dengan kuasa perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk memperkenankan pembubaran parlimen.

Hakim berkata walaupun kedua-dua cabaran undang-undang itu mendakwa menyasarkan permohonan Ismail Sabri supaya Agong membubarkan parlimen, Agong masih mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menolak permohonan itu.

Kamal menegaskan bahawa berhubung dakwaan dalam kedua-dua tindakan undang-undang itu bahawa Ismail Sabri perlu mendapatkan kelulusan kabinet sebelum meminta Agong membubarkan Parlimen, dia tidak bersetuju dengan hujah ini kerana Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada perdana menteri untuk tidak berunding dengan kabinet sebelum membawa membuat permohonan kepada Baginda.

Hakim berkata ini adalah sejajar dengan perdana menteri sebagai ketua kabinet, dan mempunyai kuasa untuk melantik, menaikkan pangkat dan memecat anggotanya.

“Perdana menteri tidak perlu berunding dengan kabinetnya untuk (membawa kepada Agong) permintaan untuk membubarkan parlimen. Dia berhak membuat keputusan sendiri kerana ia adalah hak mutlaknya sebagai perdana menteri.

“Memandangkan pembubaran mengikut Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, perundingan kabinet tidak diperlukan.

“Agong (mempunyai kuasa) untuk membubarkan parlimen mengikut budi bicaranya sendiri, berdasarkan permohonan daripada perdana menteri.

"Agong tidak terikat dengan nasihat perdana menteri atau kabinet untuk melaksanakan tugasnya di bawah Perlembagaan Persekutuan," kata Kamal.

Selepas menolak tindakan undang-undang itu, Kamal memerintahkan Charles membayar kos RM20,000 kepada ketiga-tiga responden, dan tiada perintah kos berhubung Syed Iskandar.

Pada akhir prosiding, peguam Syed Iskandar, Gopal Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

Charles kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengatakan dia akan merayu terhadap keputusan itu juga.

Charles diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Ismail Sabri, SPR dan kerajaan diwakili peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan, serta sepasukan peguam yang diketuai bekas presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.

Hari ini ditetapkan untuk keputusan mengenai permohonan oleh tiga responden untuk membatalkan saman pemula Charles, serta permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran meneruskan semakan kehakimannya.