Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Amanah begitu lemah’ - Mazlan mahu rundingan kerusi semula
Diterbitkan:  Oct 31, 2022 11:52 AM
Dikemaskini: 5:30 AM

Amanah begitu lemah dalam rundingan kerusi bagi pilihan raya umum (PRU) ke-15, kata anggota jawatankuasa kerja (AJK) parti itu di Johor, Mazlan Aliman.

Katanya, perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan ahli partinya.

Dia berkata demikian susulan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai kepada Muda.

Mazlan berkata perkara itu akan mengulangi detik hitam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

"Meskipun penegasan telah diberikan kepada pimpinan khususnya kepada presiden dan timbalan presiden Amanah, ia gagal dipertahankan. 

Lim Wei Jiet

"Kerusi pinjam di Parlimen Ayer Hitam pun gagal diambil semula. Nampaknya, ia menjadi milik DAP 'buat selama lamanya'.

"Berbeza PKR dan DAP, kepimpinan Amanah begitu lemah dalam menangani rundingan kerusi yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati ahli dan penyokong parti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muda sebelum ini mengumumkan Lim Wei Jiet akan menjadi calon kerusi Parlimen Tanjung Piai.

Lim dijangka akan berdepan penyandang kerusi itu, Wee Jeck Seng.

Terdahulu, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengakui mengintai kerusi Tanjung Piai sebagai tempat baharu untuk bertanding dalam PRU 19 November ini.

Salahuddin Ayub

Anak jati Tanjung Piai itu antaranya berkata mahu pulang dan berbakti di kampung halamannya.

Sementara itu, Mazlan menggesa Amanah membuat rundingan semula di Tanjung Piai menjelang hari penamaan calon 5 Nov ini.

"Kembalikan kepada parti Amanah seperti mana yang diputuskan sebelum ini.

"Amanah Negeri Johor mesti dilihat mengurus emosi dan moral ahli parti yang cukup terkesan dengan situasi penuh kontroversi ini.

"Barang diingat mandat kepimpinan diperoleh dari ahli parti yang menjadi perwakilan dalam pemilihan," tegasnya.

Bahkan, kata Mazlan ahli parti itu yang bertungkus lumus dan berkorban apa sahaja bagi memenangkan parti setiap kali pilihan raya.

"Saya amat sedih dengan episod ini meskipun kita sentiasa merai dan menghargai rakan rakan DAP, PKR dan Muda," tambahnya.

Lihat Komen
ADS