PM digesa lepas jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disarankan supaya melepaskan jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan melantik menteri sepenuh masa untuk menjaga kementeria berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi disarankan supaya melepaskan jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan melantik menteri sepenuh masa untuk menjaga kementeria berkenaan.
Ketika membuat gesaan tersebut, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah itu akan mengelak berlakunya dakwaan rasuah dan salahguna kuasa dalam kementerian berkenaan.
Katanya, tugas dan tanggungjawab Abdullah sudah cukup besar untuk membolehkan beliau, pada masa yang sama, turut memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Menteri Kewangan.
Menurut Lim, demi urustadbir yang lebih baik dan peningkatan kecekapan dan sistem penyampaian, Perdana Menteri mesti mula menurunkan sebahagian tugasnya kepada orang lain.
Untuk itu, katanya, Perdana Menteri mesti melantik seorang menteri keselamatan dalam negeri sepenuh masa bagi menjaga kementerian berkenaan bagi mengelak dakwaan rasuah sepertimana yang dibuat terhadap timbalan menteri itu sekarang, Datuk Mohd Johari Baharum.
Dakwaan terhadap Johari itu muncul di sebuah halaman internet yang dihoskan oleh Freewebs.com.
Tanggapan tidak baik
Ia menuduh timbalan menteri itu membebaskan suspek penjenayah yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap dan aktiviti maksiat selepas menerima rasuah RM5.5 juta.. Salah seorang daripadanya dikatakan adik kepada seorang timbalan menteri.
Dalam hal itu, Lim berkata, dakwaan rasuah terhadap Johari tidak memberi tanggapan yang baik terhadap pentadbiran kementerian berkenaan.
Oleh itu, kata Lim, selain memansuhkan sama ada Ordinan Darurat ataupun seksyen yang terbabit, perlantikan seorang menteri sepenuh akan dapat mengelak dakwaan rasuah seumpama itu.
Mengenai dakwaan rasuah dan jenayah seksual terhadap Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Seri Zulkipli Mat Noor, Lim berkata episod tersebut telah menjejaskan imej badan itu serta moral para pegawainya.
"Timbalan Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata dakwaan terhadap Ketua Pengarah BPR itu telah menjejaskan moral para pegawai BPR.
"Dakwaan terhadap Ketua Pengarah BPR dan Datuk Mohd Johari itu bukan sahaja telah menjejaskan persepsi awam terhadap integriti dan kredibiliti BPR, tetapi turut menjejaskan komitmen Perdana Menteri untuk memerangi rasuah," katanya.
Kontrak tamat
Katanya, bagaimanakah rakyat hendak mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap BPR apabila agensi itu gagal dalam ujian "bukan sahaja bersih, tetapi dilihat bersih".
"Menurut Datuk Ahmad lagi, kontrak perkhidmatan Datuk Zulkipli tamat hujung bulan ini dan adalah jelas kerajaan tidak akan menyambung kontraknya ekoran kontroversi tersebut," katanya.
Sebagai penjaga integriti awam, Lim berkata, BPR akan hilang kuasa moralnya jika Ketua Pengarahnya tidak dilihat sebagai seorang yang bersih dan reputasinya dipersoalkan.
"Ini juga akan menjejaskan kredibiliti dan komitmen Datuk Seri Abdullah untuk mewujudkan kehidupan rakyat Malaysia yang berintegriti," tambahnya.
Lim juga turut membangkitkan persoalan mengapa Perdana Menteri gagal mengambil tindakan segera apabila bekas Pengarah ACA Sabah, Mohamad Ramli Manan menghantar kepadanya surat aduannya mengenai Zuklipli pada 4 Julai 2006.
"Kelewatan seumpama itu boleh difahami sekiranya (aduan) itu dibuat oleh rakyat biasa, tetapi dalam hal ini, ia dibuat oleh seorang pegawai kanan yang juga bekas pengarah BPR Sabah," katanya.

