Bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah, Mohamad Ramli Manan memfailkan saman terhadap beberapa jabatan kerajan dan sebuah akhbar berbahasa Inggeris di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Beliau menamakan BPR, ketua Jabatan Pencen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, setiausaha dan pengerusi Jabatan Perkhidmatan Awam, kerajaan dan akhbar the Star sebagai defenden.

Ramli menuntut gantirugi am, gantirugi pampasan, gantirugi teladan dan gantirugi teruk kerana dakwaan libel, slander, pendakwaan niat jahat dan pemalsuan melulu dan/atau cuai.

Ramli tidak memperkenalkan dirinya sehinggalah wartawan datang menemuinya. Beliau kemudiannya mengadakan satu sidang akhbar ringkas di kawasan letak kereta sebelum beredar dari situ.

Sebelum ini, Ramli telah membuat beberapa dakwaan daripada perbuatan rasuah hingga kepada jenayah seksual terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Dakwaan tersebut terkandung dalam satu laporan yang dibuat tahun lalu oleh bekas pegawai BPR itu kepada Ketua Polis Negara (KPN) ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar.

'Laporan maklumat awal' yang dibuat oleh Ramli itu didedahkan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Rasuah (Gerak), Ezam Mohd Nor dalam satu sidang akhbar di Kelana Jaya baru-baru ini.

Dalam laporan itu Ramli mendakwa Zulkipli memiliki harta yang tidak sepadan dengan sumber pendapatannya'. Dia juga didakwa terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dan aktiviti jenayah.

Tuntut gantirugi

Selain itu, Ramli juga mendakwa, polis telah menyiasat Zulkipli berhubung satu jenayah seksual berikutan laporan yang dibuat oleh seorang surirumah di balai polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Menurut Ramli, dakwaan tersebut sudah diketahui oleh kalangan polis dan beberapa pegawai polis juga telah memberi bukti mengenai aktiviti rasuah Zulkipli kepada Suruhanjaya Diraja Polis, dua tahun lalu.

Kenyataan tuntutannya menyebut sejumlah RM142,377.40 serta 8 peratus faedah sebagai bayaran tertunggak, bonus dan pencen serta gantirugi bagi kehilangan pendapatan ekoran kegagalan agensi itu memberi kenaikan pangkat.

Ini terdiri daripada RM8,977.40 untuk pemulangan gaji dan bonus yang dilucutkan dari 1 Julai, 2003 dan RM133,400 gantirugi bagi kehilangan kenaikan pangkat dan pendapatan.

Menurut Ramli, beliau telah "dipetisejukkan" selama enam tahun sehinggalah persaraannya selepa dia ditukar dari Sabah.

Sebagai Pengarah BPR Sabah pada 2000, Ramli mengetuai satu siasatan terhadap Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi ketika itu, Datuk Kasitah Gaddam keras dakwaan rasuah membabitkan urusniaga saham bernilai jutaan ringgit.

Difahamkan ada pihak yang tidak senang hati dengan siasatan yang dijalankan terhadap Kasitah.

Dakwaan penganiayaan

Ramli seterusnya menyaman BPR berhubung beberapa dakwaan penindasan dan penganiayaan terhadapnya termasuk:

Kegagalan untuk meluluskan pemindahannya ke jabatan kerajaan yang lain;

Pegawai BPR membuat 'pengawasan' terhadapnya sama ada di tempat kediaman atau di pejabat, menyebabkan perasaan resah plantif maupun keluarganya;

Namanya dikeluarkan daripada daftar bayaran gaji dengan niat jahat untuk menyekatnya daripada menerima gaji bulanan tanpa sebab yang munasabah;

Menghantar satu laporan kepada Jabatan PerkhidmatanAwam (JPA) dengan perakuan supaya dia dibuang kerja berdasarkan tuduhan salahlaku yang tidak diketahuinya;

Menghantar pengawai BPR ke JPA dengan nihat jahat menggunakan pengaruh yang tidak sewajarnya ke atas pegawai JPA mengambil tindakan segera terhadapnya; dan

Membuat laporan kurang baik terhadapnya dalam laporan Prestasi Tahunan 2002.

Ramli mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar the Star ekoran satu laporan pada 2 Mac lalu yang didakwa oleh Ramli mempunyai unsur-unsur 'memfitnah' terhadapnya.

Laporan itu memetik pegawai yang tidak disebut namanya sebagai berkata, Ramli telah disiasat di peringkat jabatan kerana tidak hadir bertugas tanpa cuti rasmi sebelum persaraannya tahun lalu.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak benar dan laporan itu disiarkan dengan tujuan itu memburukkannya.

'Telefon dikesan'

Para wartawan dan jurugambar dari agensi berita utama menunggu Ramli di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Wisma Denmark, apabila mendapat tahu beliau akan memfailkan samannya pagi ini.

Bagaimanapun, tidak siapa yang mengenallinya dan beliau juga tidak memperkenalkan dirinya apabila dia tiba.

Apabila beliau menyerahkan beberapa salinan kenyataan tuntutannya kepada seorang jurugambar untuk diedarkan kepada wartawan yang hadir, mereka terus mengekorinya ke tempat letak kereta.

Ramli menjelaskan mengapa beliau mengelak pihak media hingga sekarang. "Tidak ada masalah keselamatan. Saya hanya tidak mahu mendedahkan diri saya."

Dalam sidang akhbar ringkas selama 10 minit itu, Ramli berkata, telefonnya telah dikesan sejak tahun 2003.

Ditanya siapa yang melakukannya, beliau menunjukkan ke atas dan menjawab: BRP-lah. Mereka adalah peralatan (untuk melakukannya)."

Ramli berkata, tiada seorangpun dari pihak berkuasa yang menghubunginya berhubung dakwaan terhadap Zulkipli sehinggalah pihak media menyiarkan laporan sidang akhbar yang diadakan oleh Pengerusi Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak), Ezam Mohd Noor pada 26 Februari lalu.

Ramli berkata, beliau telah menulis kepada Timbalan Pengarah BPR pada 2004 untuk mengadu (mengenai Zulkipli), tetapi tiada respon. Beliau kemudiannya cuba untuk bertemu dengan Zulkipli awal tahun lalu, tetapi tidak berjaya.

Sebelum bertugas di Sabah, Ramli pernah memegang jawatan timbalan pengarah BPR Perak, Kedah dan Negeri Sembilan dan menjadi pengarah BPR Kelantan.

Ramli berkata, beliau memberi keterangan kepada pihak polis selama 10 jam Isnin lalu berhubung dakwaannya itu.

Beliau dan Zulkipli telah dipanggil memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti berhubung dakwaan itu Isnin depan. Berita asal