Cuba hidupkan al-Arqam: Dua bekas pengikutnya mengaku tidak bersalah
Dua bekas pengikut kumpulan al-Arqam dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini atas tuduhan cuba menghidupkan semula ajaran tersebut yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.
Dua bekas pengikut kumpulan al-Arqam dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam hari ini atas tuduhan cuba menghidupkan semula ajaran tersebut yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994.
Nordin Ibrahim, 62, dan Hamdan Mohd Nur, 38, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar.
Nordin yang hadir di mahkamah bersongkok dan memakai baju melayu hijau didakwa mengendalikan taklimat kursus berkaitan dengan kehebatan bekas ketua al-Arqam, Ashaari Muhammad yang bertajuk "Ilmu Ikhwan Untuk Pejuang Akhir Zaman" kira-kira jam 9 pagi 25 November tahun lalu.
Hamdan yang bersongkok dan memakai kemeja putih pula menghadapi dua tuduhan memiliki dan menyimpan dua buah buku bertajuk "Zikir Agung" dan "Abuya Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya" antara pukul 3.30 petang hingga 4.30 petang hari yang sama.
Mengikut laporan Bernama, mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan tujuan untuk menghidupkan semula fahaman atau ajaran Al-Arqam di premis No 31A, Jalan Snuker, 13/28 Seksyen 13 di Shah Alam.
Jika sabit kesalahan, Nordin dan Hamdan yang didakwa mengikut Seksyen 12 (C) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 kerana kesalahan melanggar fatwa mufti boleh dikenakan denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Seorang lagi bekas pengikut Al-Arqam, Mohd Zamri Azhar @ Nadzri bagaimanapun tidak hadir di mahkamah untuk mendengar pertuduhan ke atasnya.
Pohon pindah kes
Dalam prosiding yang bermula 11 pagi itu, Ketua Pendakwa Syarie Selangor Mohd Rais Rashid mencadangkan agar Nordin dibebaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin penjawat awam yang bermastautin di Shah Alam manakala Hamdan sebanyak RM4,000 dengan dua penjamin penjawat
awam bagi kedua-dua pertuduhan.
Mohd Rais juga mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 101 Enakmen Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes Nordin dan Hamdan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam bagi didengar bersama dengan Mohd Zamri yang mempunyai satu lagi kes di mahkamah yang sama.
"Pohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam (bersama dengan kes Mohd Zamri) kerana kes di sana (mahkamah tinggi) melibatkan transaksi dan saksi-saksi yang sama," katanya yang turut dibantu Md Razali Hassanusi dan Norasnita Maktar.
Mohamed Fouzi kemudiannya membenarkan Nordin dibebaskan dengan jaminan RM1,500 serta seorang penjamin penjawat awam sementara Hamdan sebanyak RM3,000 dengan dua penjamin penjawat awam bagi kedua-dua pertuduhan.
Hakim itu juga menetapkan Isnin depan untuk sebutan semula bagi membolehkan pertuduhan dibacakan terhadap Mohd Zamri dan membuat keputusan berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah tinggi.
Penjamin Nordin dan Hamdan bagaimanapun tidak kelihatan di mahkamah sehingga prosiding berakhir dan kedua-duanya kemudian dibawa ke pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diiringi beberapa pegawai jabatan agama itu.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai tangkapan Jais terhadap kira-kira 100 orang di sebuah rumah kedai di Seksyen 13 di sini, termasuk kanak-kanak dan empat ahli perniagaan dipercayai bekas pengikut Al-Arqam yang didakwa cuba mengamalkan semula ajaran sesat itu.
Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan pada 15 Ogos 1994, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 September 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dekat sini dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

