Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: PM nak kabinet wakili M'sia, tapi pilihan terhad

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membayangkan kepada rakan gabungannya bahawa dia berhasrat untuk membentuk kabinet yang mewakili "wajah-wajah Malaysia" tetapi menghadapi pilihan terhad kerana realiti kerajaannya.

Ini ketika BN rancak melobi supaya Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi, yang menghadapi perbicaraan rasuah, dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar berkongsi cabarannya dalam membentuk kabinet ketika mempengerusikan Majlis Presiden PH pada Isnin.

Menurut Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (gambar, bawah), mesyuarat itu tidak membincangkan secara khusus mengenai pembentukan kabinet Anwar.

Dia berkata demikian ketika ditanya jika terdapat pemimpin PH menuntut jawatan kabinet atau sekiranya ada sebarang bantahan terhadap kemungkinan pelantikan Zahid.

“Kami tidak membincangkan kabinet baru. Anwar membuka mesyuarat dengan memberi taklimat kepada kami tentang apa yang telah beliau lakukan setakat ini,” kata Salahuddin yang hadir mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat PKR di Selangor.

Salahuddin berkata pelantikan kabinet adalah hak prerogatif perdana menteri dan dia menjangkakan akan ada pengumuman esok.

“Tidak ada seorangpun daripada kami, pemimpin (PH) yang mempunyai petunjuk tetapi saya fikir itu adalah perkara biasa bagi mana-mana PM.

“Begitu juga ketika Tun (Dr Mahathir Mohamad) membentuk kabinetnya,” kata Salahuddin.

Parti komponen PH, katanya, hanya mampu menamakan calon menteri dan tidak menuntut jawatan tertentu.

Perlu tampung

Sumber yang rapat dengan kepimpinan PH berkata mesyuarat majlis presiden gabungan itu kebanyakannya berkisar mengenai urusan organisasi.

Namun, kata sumber lagi Anwar juga menyatakan kebimbangan terhadap "pilihan terhad" yang dia ada dalam mengawal pencalonan oleh rakan kongsi PH.

“Umno ada cara tersendiri dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ada caranya. Jadi, PH perlu ‘super duper’ akomodatif,” kata sumber itu, ketika ditanya mengenai pendirian PH jika Zahid dilantik ke dalam kabinet.

“Ada isu yang perlu diuruskan menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 19 Dis ini.”

Walaupun Anwar mendakwa mendapat sokongan 148 ahli parlimen - lebih dua pertiga daripada Dewan Rakyat - ini hanya akan diuji pada 19 Dis depan apabila Dewan Rakyat bersidang dan menjalankan undi percaya.

Sumber kedua PKR, bagaimanapun, berkata kebimbangan utama Anwar berkisar tentang bagaimana kabinetnya yang lebih kecil boleh mencerminkan "wajah Malaysia" sambil kekal cekap dan berkesan.

“Beliau (Anwar) secara khusus menyebut keperluan perwakilan daripada minoriti, Sabah, Sarawak, dan wanita.

“Kabinet mesti mewakili semua rakyat Malaysia. Ini sangat jelas dan kami semua menerimanya,” kata sumber itu.

Sumber itu mengesahkan pencalonan Zahid untuk jawatan kabinet tidak dibincangkan tetapi menambah ia adalah "rahsia terbuka" bahawa PH dijangka menghormati mana-mana pemimpin yang dicalonkan oleh rakan kongsi lain gabungan itu.

Spekulasi mengenai pelantikan Zahid serta ahli parlimen lain dengan pertuduhan rasuah yang belum selesai - termasuk pemimpin PH - telah menjadi semakin hangat beberapa hari selepas Anwar menjadi perdana menteri.

Walaupun kumpulan masyarakat sivil berhujah bahawa pelantikan Zahid akan menjejaskan wibawa Anwar sebagai reformis, penganalisis menyatakan perdana menteri perlu berkompromi untuk memastikan kerajaan tetap utuh.

Susulan pilihan raya umum 19 Nov, Zahid memainkan peranan penting dalam memastikan 30 ahli parlimen BN menyokong kerajaan perpaduan yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong. GPS kemudian ikut menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Lihat Komen
ADS