Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengarahkan akhbar-akhbar arus perdana di negara ini supaya jangan memetik dan menerbitkan artikel dari media internet dan blog.

Surat pekeliling itu bertarikh 13 Mac 2007 dan ditandatangani oleh seorang pegawai kanan, Che Din Yusof bagi pihak ketua setiausaha kementeria berkenaan.

Pekeliling itu mengingatkan akhbar-akhbar berkenaan bahawa di bawah Seksyen 8A (2) Akta Media Cetak dan Penerbitan 1984, adalah menjadi tanggungjawab penerbit mereka untuk mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan ketepatan dan kebenaran berita sebelum disiarkan.

Ia mengingatkan, sebagai akhbar yang bertanggungjawab, pemiliknya mesti mematuhi prinsip dan kod etika kewartawanan, yang antara lain, untuk memastikan setiap laporan berita mempunyai asas yang kukuh.

Katanya, sesebuah akhbar arus perdana tidak sepatutnya memainkan sentimen awam dan dengan sengaja melanggar prinsip-prinsip asas kewatawanan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan dan keselamatan negara.

Tanggungjawab penerbit

Tindakan seumpama itu, tambahnya, tidak selaras dengan prinsip kebenaran dan keterbukaan yang dihasratkan oleh kerajaan.

Kementerian itu juga mengingatkan akhbar-akhbar arus perdana supaya tidak menyiar atau memberi apa-apa pertimbangan kepada artikel yang tidak langsung mempunyai asas, atau berdasarkan spekulasi atau tiada sebarang asas seperti dilaporkan dalam media internet atau blog.

Katanya, akhbar mesti mematuhi syarat No 11 dalam Syarat-Syarat Permit Percetakan yang mensyaratkan pemegang permit tersebut mematuhi dan tidak bertindak bertentangan dengan arahan yang dikeluarkan pihak kementerian, dari masa ke semasa.

Sebelum itu, pekeliling itu menegaskan bahawa pihak kementerian telah memerhatikan kecenderungan akhbar-akhbar tempatan untuk memetik dan menyiarkan artikel-artikel dari media internet dan blog dalam penerbitan mereka.

Ini menunjukkan seolah-olah akhbar-akhbar arus perdana cenderung untuk mempercayainya, dengan memberi publisiti terhadap perkara yang dibangkitkan dalam artikel-artikel berkenaan. Berita asal