Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tak seimbang' - DAP Pulau Pinang kecewa komposisi kabinet
Diterbitkan:  Dec 3, 2022 6:22 AM
Dikemaskini: 6:22 AM

DAP Pulau Pinang menyifatkan komposisi politik kabinet yang baru diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ‘tidak seimbang’, walaupun bersetuju dengan pembentukan kabinet yang lebih kecil.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata terdapat parti politik yang kerusinya kurang berbanding DAP tetapi sebaliknya mendapat lebih banyak jawatan menteri.

“Sebuah parti politik meraih kerusi kurang berbanding DAP pada PRU15 tetapi mendapat dua kali ganda bilangan menteri berbanding DAP.

“Kami kecewa kerana tiada seorang pun daripada tujuh ahli parlimen DAP Pulau Pinang dilantik sebagai menteri, walaupun kami faham akhirnya, keputusan perdana menteri untuk memilih siapa yang patut berada dalam kabinetnya,” katanya hari ini.

PM umum barisan kabinet baru.

Chow berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai barisan kabinet kerajaan persekutuan.

Pada PRU15, DAP menang 40 kerusi parlimen, turun sedikit daripada 42 kerusi sebelum ini yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2018.

Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kemungkinan komposisi politik timbalan menteri, Chow mengelak mengulas soalan itu.

“Saya masih perlu menunggu pengumuman itu,” kata Chow.

Kabinet PH selepas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini membariskan enam ahli parlimen DAP sebagai menteri.

Sementara itu, empat ahli Parlimen DAP menjadi menteri dalam barisan kabinet terbaru yang diumumkan semalam.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mendedahkan kabinetnya, termasuk Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri I dan GPS Fadhillah Yusof sebagai timbalan perdana menteri II.

Pengerusi PH itu berkata kabinet akan terdiri daripada 28 menteri, di 22 kementerian, dan empat portfolio di Jabatan Perdana Menteri.

Dia juga berkata kekuatan kerajaan perpaduan mencapai hampir dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat.

Kerajaan PH pimpinan Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pada 2018 membariskan 28 menteri dan 27 timbalan menteri.

Lihat Komen
ADS