Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib Presiden Argentina dihukum penjara 6 tahun kerana rasuah
Diterbitkan:  Dec 7, 2022 10:17 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

GLOBAL | Mahkamah Persekutuan Argentina menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas naib presiden negara itu, Cristina Fernandez de Kirchner, dan melarangnya memegang sebarang jawatan awam.

Menurut agensi berita Anadolu, panel tiga hakim mendapati Cristina bersalah melakukan penipuan berhubung pemberian kontrak kerja awam di wilayah selatan Santa Cruz.

Hakim Jorge Gorini membacakan keputusan itu melalui sidang video yang turut dihadiri dua hakim lain, Rodrigo Gimenez Uriburu dan Andres Basso.

Gorini berkata "gerakan penipuan yang luar biasa berlaku" - merujuk kepada hukuman itu yang diputuskan selepas tiga tahun.

Bagaimanapun Cristina tidak perlu menjalani hukuman serta-merta kerana keputusan hari ini perlu disahkan Mahkamah Agung.

Menurut keputusan itu, Cristina dihalang memegang jawatan awam, namun sebagai ketua Senat dan penggubal undang-undang, dia dilindungi daripada pendakwaan.

Sebelum ini, Cristina mendakwa dia menjadi sasaran seteru politiknya.

Pendakwa raya persekutuan menuduh Cristina memberi kontrak kerja awam palsu dan terlalu mahal di Santa Cruz semasa tempoh menjadi presiden selama dua penggalnya dari 2007 hingga 2015.

Pendakwa raya juga mendesak Cristina dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan larangan seumur hidup daripada memegang jawatan awam.

Banyak kontrak yang dikatakan menguntungkan sekutu rapat keluarga Cristina dengan beberapa daripadaya telah disabitkan dengan rasuah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS