mk-logo
Berita
Projek ladang di hutan Kledang-Saiong: Parti Hijau gesa Anwar campur tangan
Diterbitkan:  Jan 8, 2023 2:25 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Parti Hijau menggesa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim untuk menolak Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan projek perladangan di Hutan Simpan Kledang Saiong Perak.

Ia juga menggesa campur tangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, atas kapasitinya sebagai ahli parlimen Tambun, untuk menolak cadangan itu.

Presiden Parti Hijau Zabri Mokhtar membantah projek itu, yang merentasi 4,280 hektar hutan simpan, atas alasan ia akan memberi kesan kepada ekosistem hutan simpan dan Perak.

"Pengondolan kawasan hutan simpan seluas 10,823 bakal menyebabkan kehilangan hutan tadahan hujan tropika disamping ianya merupakan habitat perayauan bagi bebrapa jenis hidupan liar yang dilindungi dan terancam.

"Projek yang berskala besar ini juga bakal menjejaskan kehidupan harian, sumber air dan ounca pendapatan kira-kira 200 orang masyarakat Orang Asli Bukit Chermin yang terletak 200 meter dari kawasan projek," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Kata Zabri, ini akan mengakibatkan banjir dan tanah runtuh pada masa hadapan.

Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek yang dicadangkan sedang dalam semakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dibuka untuk pemeriksaan orang ramai sehingga 26 Jan. Maklum balas awam untuk projek itu akan ditutup pada 10 Feb.

Tapak itu, yang berjumlah 38.9 peratus daripada saiz Hutan Simpan Kledang Saiong, perlu terlebih dahulu digondolkan sepenuhnya jika projek itu diluluskan, menurut EIA berkenaan. Ia kini diklasifikasikan sebagai kawasan sensitif alam sekitar Peringkat 2.


BACA BERKAITAN: Hutan simpan seluas 5,994 padang bola mungkin berubah wajah


EIA mendapati terdapat dua spesies terancam kritikal di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) yang menamakan hutan simpan itu sebagai habitat kepada burung enggang tebang mentua (helmeted hornbill) dan kura-kura baning (Asian brown tortoise).

Ia juga habitat kepada 11 spesies terancam termasuk tapir Asia, siamang, burung daun sayap biru, dan penyu kotak Malaysia, serta 10 spesies terdedah seperti beruang matahari Malaya, harimau dahan, kucing batu (leopard cat) dan burung enggang gunung.

Turut terjejas, kata Zabri, ialah masyarakat Orang Asli Kampung Orang Asli Bukit Chermin yang terletak 200 meter barat laut tapak cadangan.

Menurut EIA, hutan simpan menyediakan sumber pendapatan, bekalan air, makanan untuk kira-kira 200 penduduk kampung itu.

Projek ladang hutan yang dicadangkan dipecahkan kepada beberapa petak untuk dibangunkan dan diuruskan oleh empat penyokong projek.

Kawasan tanah terbesar dianugerahkan kepada Syarikat Sri Kruing Sdn Bhd seluas 1,329 hektar, diikuti oleh Rimba Kembara Sdn Bhd (1,280 hektar), Rimbun Cengal Sdn Bhd (1,071 hektar) dan Seri Tualang Sdn Bhd (600 hektar).

Bagaimanapun, Zabri mendakwa terdapat seorang individu di belakang keempat-empat syarikat itu, yang didakwanya dianugerahkan projek itu untuk mengaburi orang ramai.

"PHM juga telah membuat carian SSM terhadap 4 buah syarikat yang dianugerahkan projek ini dan mendapati ianya dimiliki oleh seorang berpangkat ‘Datuk’ seorang pemilik kilang tepung (Flour Mill).

"PHM berpandangan pemberian projek kepada 4 syarikat tersebut hanya sebagai ‘wayang’ bagi

mengaburi mata rakyat kononya diberikan kepada 4 syarikat untuk melaksanakan projek Ladang Kayu ini tetapi hakikatnya ianya sebenarnya diberikan kepada seorang individu sahaja," katanya lagi.

Zabri seterusnya mendakwa ‘Datuk’ terbabit pernah cuba menjalankan projek tanaman buluh dua tahun lalu, tetapi kini menceburi projek perladangan dalam skala yang lebih besar.

Untuk rekod, semakan Malaysiakini mendapati keempat-empat syarikat itu berdaftar di alamat perniagaan yang sama.

Zabri menambah, beberapa kumpulan dan pertubuhan berhasrat bertemu dengan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung projek itu.

Lihat Komen
ADS