Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waktu saya dipecat, mereka tak buat apa-apa, kata Zaid
Diterbitkan:  Jan 29, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Zaid Ibrahim mengimbas semula penyingkirannya daripada Umno pada 2008 sambil membidas beberapa individu yang yang dipecat dan digantung oleh majlis tertinggi parti itu Jumaat lalu.

Menerusi Twitter, Zaid berkata dia juga pernah dipecat daripada Umno tanpa melalui prosedur sepatutnya.

“Apabila saya dipecat daripada Umno beberapa tahun lalu kerana terlalu liberal, tidak ada sebarang sebab, amaran dan tiada asas.

"Namun mereka yang kini merungut tidak berbuat apa-apa," kata Zaid yang menyertai semula Umno tahun lepas selepas menyertai beberapa parti.

Zaid mula menyertai Umno pada 2000 dan memenangi kerusi parlimen Kota Bharu pada 2004, sebelum digugurkan sebagai calon pada pilihan raya umum berikutnya pada 2008.

Bekas perdana menteri Abdullah Badawi, selaku presiden Umno ketika itu, memecat Zaid pada Disember 2008 kerana menghadiri majlis pembangkang.

Zaid dilaporkan menghadiri Kongres PKR yang diadakan pada November 2008, sebelum dia mengumumkan menyertai parti itu.

Bagaimanapun dia gagal untuk bertanding sebagai timbalan presiden PRK dua tahun kemudian.

Zaid keluar dari PKR pada 2010 sebelum menubuhkan partinya sendiri. Namun parti itu juga gagal mendapat sambutan.

Dia kemudiannya menyertai DAP dari 2017 hingga 2020.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Zaid turut menulis, "Kamu tidak pernah jauh daripada ketidakadilan jika kamu memutuskan untuk ambil dan pilih apa yang sesuai."

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat majlis tertinggi parti itu pada Jumaat membuat keputusan memecat bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan bekas ketua Umno Selangor Noh Omar kerana didakwa melanggar disiplin parti semasa pilihan raya umum ke-15.

Parti itu juga menggantung bekas naib presidennya yang juga ahli parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Hamdan; ketua Umno bahagian Tebrau Maulizan Bujang dan bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif selama enam tahun.

Lima ahli Umno Pasir Gudang, sembilan dari Putrajaya, dua dari Tanjong Karang dan 26 dari Pahang turut dipecat.

Semalam, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata dia tidak bersetuju dengan pengantungan dan pemecatan itu kerana mendakwa keputusan itu dibuat tanpa melalui prosedur sepatutnya.

Lihat Komen
ADS