Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan murid sekolah Cina tidak minat pelajari BM - MCLC tidak akan teruskan kes

Majlis Bahasa Cina Malaysia (MCLC) memutuskan untuk tidak meneruskan kes berhubung dua laporan akhbar yang mendakwa murid sekolah Cina (SJKC) tidak berminat untuk mempelajari bahasa Melayu.

Ini selepas polis mendapati tiada unsur hasutan dalam kedua-dua artikel berkenaan semasa siasatan awal mereka.

Kumpulan pendidikan Cina itu sebelum ini telah membuat laporan polis berdasarkan isu tersebut.

Menurut MCLC, mereka sebaliknya menyerahkan siasatan dan keputusan lanjut kepada polis dan peguam negara.

Pengerusi MCLC Eddie Heng berkata tujuan laporan polis itu difailkan bukan untuk meneruskan pendakwaan atau hukuman ke atas wartawan atau media terbabit, sebaliknya untuk memberi kesedaran tentang keseriusan isu berkenaan dan memperbetulkan artikel sebelum ini.

Artikel bertajuk "SJKC pupils not keen to learn BM" diterbitkan oleh New Straits Times pada 18 Jan, manakala edisi bahasa Melayu kumpulan itu, Berita Harian, menyiarkan pada hari yang sama laporan bertajuk "Murid SJKC tak minat subjek Bahasa Melayu?"

Kedua-dua artikel berkenaan ditulis oleh pengarang yang sama. Kedua-dua organisasi berita itu dimiliki oleh New Straits Times Press (M) Bhd - yang merupakan sebahagian daripada Kumpulan Media Prima.

Heng berkata, meskipun kedua-dua akhbar itu tidak menjelaskan secara langsung tentang artikel berkenaan, namun mereka telah membuat liputan secara menyeluruh mengenai penjelasan MCLC.

“Kami berbesar hati kedua-dua akhbar ini menghantar wartawan mereka untuk membuat liputan dan menyiarkan artikel tentang kesungguhan mempelajari Bahasa Malaysia dalam masyarakat Cina, serta kepentingan yang diberikan oleh pihak sekolah dan ibu bapa.

“Ini secara tidak langsung membantu membetulkan laporan tidak tepat sebelum ini.

"Paling penting, ia adalah untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada mereka yang terkeliru," kata Heng.

Dia percaya bahawa matlamat MCLC telah tercapai dan akan mengarahkan peguamnya untuk tidak meneruskan kes itu.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka tidak berhasrat menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini.

Katanya, perkara itu dianggap sebagai kes jenayah, dan pihak majlis menyerahkan kepada peguam negara dan polis untuk membuat keputusan.

Semasa sidang media pada 31 Jan, MCLC berhujah bahawa artikel itu melanggar Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 124I Kanun Keseksaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS