Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suruhanjaya Indonesia kecam serbuan pekerja asing di Nilai Spring

Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) Indonesia mengecam serbuan di penempatan pendatang di Nilai Spring, Negeri Sembilan yang berlaku pada awal pagi 1 Feb lalu dengan penahanan 67 pendatang tanpa izin.

Suruhanjaya itu menegur Jabatan Imigresen Malaysia kerana tidak mematuhi prinsip Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).

Antara 67 pendatang tanpa izin itu bayi berusia dua bulan, serta kanak-kanak pada umur persekolahan lain yang sedang bersedia untuk integrasi dengan sistem sekolah kebangsaan Indonesia sebaik mereka pulang secara tetap.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan mengenai pekerja asing itu, yang memiliki pas sementara tetapi tidak dapat pulang ke Indonesia kerana pandemik tetapi ditahan di Depoh Imigresen Lenggeng.

Selain itu, Komnas HAM berkata serbuan itu dilakukan semasa Malaysia masih melaksanakan program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, yang mengatur semula pendatang tanpa izin sebagai pekerja asing yang sah.

“Merujuk kepada CRC, penahanan kanak-kanak mesti mematuhi undang-undang dan harus digunakan sebagai langkah terakhir dan untuk masa yang sesingkat mungkin.

“(Penahanan itu) dalam konteks kanak-kanak yang bercanggah dengan undang-undang, dalam kes ini, kanak-kanak berkenaan bukanlah pelanggar undang-undang,” kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan semalam.

Suruhanjaya itu mengambil maklum bagaimana kanak-kanak berumur persekolahan itu mengikuti pendidikan tidak formal di kemudahan pembelajaran yang disokong oleh Kedutaan Indonesia di Malaysia di Nilai Spring.

Komnas HAM berkata kanak-kanak itu tidak mendapat hak mereka untuk pendidikan formal yang "merupakan hak mereka tanpa mengira status ibu bapa sebagai pekerja asing tanpa izin."

Suruhanjaya itu juga mengulas mengenai keadaan kem imigresen, tempat migran berkenaan ditahan, dengan alasan tiada kemudahan yang sesuai untuk berehat dan tidur terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan ibu kepada bayi.

Pindahkan kanak-kanak, ibu

Lantaran itu, Komnas HAM menyarankan agar kerajaan Malaysia campur tangan secepat mungkin.

Mereka meminta kerajaan memindahkan wanita dan kanak-kanak yang ditahan ke kemudahan lebih selamat yang mesra kanak-kanak terutama bagi kanak-kanak yang masih menyusu badan serta memastikan kanak-kanak ini tidak berpisah dengan ibu bapa.

Kedua, mereka menuntut supaya kanak-kanak diberi hak mereka untuk mendapat pendidikan formal berdasarkan CRC yang telah diratifikasi oleh Malaysia serta memastikan dasar dibuat untuk mengambil kira kepentingan terbaik mereka.

Suruhanjaya itu juga telah meminta jabatan imigresen berhenti menyerbu, menangkap dan menahan anak pendatang tanpa izin dan mengemukakan pendekatan hak asasi manusia serta mengoptimumkan RTK 2.0.

Selain itu, Komnas HAM mencadangkan kepada kerajaan Malaysia dan kerajaan Indonesia untuk melaksanakan Memorandum Persefahaman (MOU) berhubung perlindungan pekerja asing.

Syor untuk kerajaan Indonesia

Komnas HAM juga menggesa kerajaan Indonesia mengambil berat keselamatan pekerja asing dari negara itu.

Suruhanjaya itu meminta kerajaan Indonesia memberi bantuan guaman kepada pekerja asing, terutama mangsa serbuan baru-baru ini. Mereka juga mendesak supaya peraturan CRC dipandang serius di Indonesia juga.

Selanjutnya, Komnas HAM meminta agar pendatang yang ditahan diberi penilaian mental dan sesi kaunseling untuk potensi trauma yang disebabkan oleh serbuan itu, dan terutamanya memandangkan terdapat kanak-kanak yang terlibat, pemulihan perlu disediakan untuk mereka.

Komnas HAM menggesa pasukan pemantau pekerja asing (TKI) daripada parlimen Indonesia supaya memberi perhatian terhadap kejadian itu serta memantau sebarang serbuan akan datang yang mungkin berlaku.

Hargai Suhakam

Komnas HAM turut mengucapkan terima kasih kepada Suhakam atas maklum balas mereka terhadap serbuan itu dan telah mengesyorkan supaya suruhanjaya hak asasi manusia menjadi pemerhati kes tersebut.

Mereka meminta Suhakam mempertimbangkan untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi manusia

semasa serbuan yang membawa kepada penahanan dan penahanan pekerja asing itu.

Ini, kata Komnas HAM bagi memastikan pemenuhan, perlindungan dan penghormatan terhadap hak wanita dan kanak-kanak yang ditahan.

Mereka juga menggesa Suhakam menyelia pelaksanaan MOU antara Indonesia dan Malaysia mengenai perlindungan pekerja asing.

Semalam, Suhakam menggesa kanak-kanak yang ditahan itu diberi sesi kaunseling kerana Pengerusinya Rahmat Mohamad (gambar, atas) menegaskan bahawa menjadi kewajipan Malaysia mematuhi Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) untuk melindungi kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

Suhakam turut mengesyorkan kerajaan melaksanakan program alternatif kepada tahanan (ATD).

Program ini menempatkan sementara kanak-kanak migran di tempat selamat yang kondusif untuk kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang menunggu status imigresen mereka ditentukan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS