Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peruntukan MP dipotong: Pembangkang kena bincang k'jaan - Rafizi
Diterbitkan:  Feb 5, 2023 8:55 PM
Dikemaskini: 12:59 PM

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mahu pembangkang mengorak langkah proaktif bertemu kerajaan bagi membincangkan soal peruntukan kepada ahli parlimen.

Sebagai permulaan, dia berkata pembangkang - yang kini hanya terdiri daripada Perikatan Nasional - perlu menangani politik perkauman.

"Contohnya pada penggal yang lepas apabila ada MOU (memorandum persefahaman) antara Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan ada perkara yang sudah dipersetujui.

"Buat masa sekarang, pembangkang tidak meredakan langsung mengenai isu perkauman dan serangan yang mereka mainkan (kepada kerajaan)," katanya seperti dipetik BH Online.

Timbalan presiden PKR itu juga berkata pembangkang mesti pandai berfungsi secara sihat dalam suasana kekangan kewangan yang ada ini.

"Jadi kita tunggulah kalau Perikatan Nasional (PN) mahu menjadi pembangkang yang progresif, yang sihat mereka mesti berhenti memainkan isu yang bersabit isu perkauman yang memecahbelahkan rakyat.

"Pembangkang tidak memulakan sebarang langkah (bincang) pun. Lepas itu dia teruskan agenda yang kurang sihat, pada masa sama menunggu segalanya diberikan kepada mereka. Bila dia nak mulakan langkah itu, kita pun tak tahu," katanya lagi.

Rafizi mengulas ketua whip ahli parlimen PN Takiyuddin Hassan yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya tidak memotong peruntukan kepada ahli parlimen.

Takiyuddin juga menuduh kerajaan tidak memberikan peruntukan sama rata kepada ahli parlimen pembangkang dan parti pemerintah.

Bagaimanapun, Malaysiakini baru-baru ini melaporkan bahawa ahli parlimen kerajaan akan mengurangkan peruntukan kawasan mereka untuk 2023 sebanyak lebih 70 peratus, daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta, dengan akses terhadap dana pembangunan sebanyak RM2 juta dipotong sepenuhnya.

Anwar kemudian mengesahkan langkah itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dengan lebih baik dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

Sementara itu, Rafizi berkata kerajaan perlu mengutamakan ekonomi negara dan rakyat terlebih dahulu.

Ahli parlimen pembangkang juga tidak seharusnya menjadikan pemotongan peruntukan itu sebagai isu memandangkan ia sebenarnya warisan pentadbiran mereka sebelum ini.

"Oleh kerana kedudukan kewangan yang ditinggalkan oleh pentadbiran yang dulu, itu saya pasti bila Perdana Menteri bentangkan bajet, rakyat boleh lihat kekangan yang ada.

"Dalam keadaan memang mencabar. Dalam keadaan peruntukan ahli parlimen kerajaan dan menteri pun dipotong sehingga 75 peratus.

"Sudah tentulah kalau pembangkangpun mahukan peruntukan mereka perlu mulakan langkah (berbincang dengan kerajaan)," jelas Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan.

Secara tradisinya, ahli parlimen pembangkang tidak menerima peruntukan daripada kerajaan pusat sehingga beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika era pentadbiran PN, dilaporkan pada Feb 2021 bahawa ahli parlimen pembangkang hanya diberi peruntukan RM100,000 sahaja manakala ahli parlimen kerajaan menerima RM3.7 juta.

Bagaimanapun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli parlimen partinya juga mendapat peruntukan RM100,000 sama nilai dengan yang diberikan kepada ahli parlimen pembangkang di bawah Belanjawan 2021.

Sebaliknya, kata Ahmad Zahid, ahli parlimen kerajaan PN yang lain mendapat peruntukan RM3.7 juta.

Namun, ahli parlimen pembangkang berkata mereka tidak menerima "satu senpun" daripada peruntukan yang dikatakan pada 2021 itu.

Lihat Komen
ADS