Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dapat RM100,000? Kita satu sen pun tak dapat'
Diterbitkan:  Feb 4, 2021 10:03 AM
Dikemaskini: 4:14 AM

Ahli Parlimen pembangkang menafikan mereka menerima peruntukan RM100,000 daripada kerajaan pusat.

Perkembangan itu hadir selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata dia dan beberapa ahli parlimen Umno lain hanya mendapat peruntukan RM100,000, yang menurutnya sama seperti diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Pada masa sama, Zahid mendakwa ahli parlimen kerajaan lain dalam Perikatan Nasional (PN) mendapat peruntukan RM3.7 juta seorang.

Susulan itu, beberapa ahli parlimen pembangkang tampil mengulas kenyataan Zahid dan mendakwa situasi mereka lebih buruk daripada Zahid.

"Mana ada ahli parlimen pembangkang dapat RM100,000? Saya ahli parlimen Segambut satu sen pun tak dapat tahun ini," kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.

Begitu juga, Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin juga mengatakan belum ada berita bahawa Ahli Parlimen pembangkang akan mendapat peruntukan sama sekali untuk kawasan mereka.

"Saya terpanggil untuk membetulkan fakta. Kami ahli parlimen pembangkang setakat ini tak dapat apa-apa peruntukan dan tidak dihubungi oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Bagaimanapun, Cha menambah bahwa dia terkejut apabila mendapat tahu Zahid, sebagai penyokong kerajaan, hanya mendapat peruntukan RM100,000.

"Saya sendiri terkejut dengan pendedahan ini, kenapa hanya RM100,000 untuk, macam ni ke layanan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap Zahid?" soalnya.

Semalam, dalam satu wawancara, Zahid secara sinis mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Muhyiddin kerana hanya diberi peruntukan kawasan parlimen RM100,000.

Setakat ini saya terima peruntukan sebanyak RM100,000 setahun untuk tahun 2021. Ahli parlimen kerajaan yang lain dapat RM3.7 juta.

"Alhamdulilah saya mendapat RM100,000. 'Cukuplah' untuk Bagan Datuk rasanya. (Peruntukan) itu bahagian yang paling mundur di Perak setakat ini apabila dapat rm100,000 setahun.

"Saya ucapkan terima kasih atas peruntukan yang diberikan itu," katanya dalam wawancara di NR Channel TV, semalam.

Zahid mengingatkan bahawa dia dan ahli parlimen Umno yang lain telah menyokong Belanjawan 2021 ketika dibentangkan di parlimen untuk memastikan ia diluluskan.

Justeru, mereka sewajarnya diberi peruntukan yang sama dengan ahli parlimen kerajaan yang lain.

"Ini adalah peruntukan yang diberikan kepada ahli parlimen Bagan Datuk, Pontian (Ahmad Maslan), Pekan (Najib Razak), Padang Rengas (Nazri Abdul Aziz) dan Machang (Ahmad Jazlan Yaakub).

"Mudah-mudahan terbukalah hati sesiapa yang membuat keputusan itu untuk memberi peruntukan sama dengan mana-mana ahli parlimen (kerajaan) yang telah mengundi supaya Belanjawan 2021.

"Kami sokong Belanjawan 2021 tiga kali, di peringkat dasar jawatankuasa, dan peringkat bacaan ketiga.Tetapi hadiah yang kami dapat, alhamdulilah peruntukan yang kami dapat rm100,000 setahun.

"Terima kasihlah, bersyukur, alhamdullilah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS