Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga sayur: KPDN keluarkan 60 notis untuk analisis, siasat
Diterbitkan:  Feb 6, 2023 8:42 AM
Dikemaskini: 12:42 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan 60 notis terhadap 296 jenis barangan yang diperiksa bagi tujuan analisis dan siasatan berhubung kenaikan harga sayur-sayuran melalui Operasi Pasar (Op Pasar).

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam berkata hasil pemeriksaan awal mendapati faktor peningkatan harga sayur-sayuran ialah kerana musim monsun, kenaikan kos input seperti baja, benih dan racun yang diimport, kadar pertukaran mata wang serta kos perkapalan.

Dia berkata KPDN memandang serius rungutan orang ramai berkenaan kenaikan harga barangan termasuk sayur-sayuran seperti dilaporkan media arus perdana dan media sosial.

“Kementerian sentiasa prihatin dan berusaha menangani isu-isu ini melalui tindakan-tindakan proaktif dan penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Op Pasar merupakan antara pemeriksaan dan pemantauan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang difokuskan bagi menangani kenaikan harga sayuran di pasaran.

Azman berkata seramai 2,200 pegawai penguat kuasa digerakkan setiap hari bagi melaksanakan pemeriksaaan harga di premis seluruh negara termasuk yang menjual sayur-sayuran.

Selain itu, dia berkata KPDN sentiasa melaksanakan sesi libat urus dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta pihak peniaga bagi memastikan bekalan sedia ada sentiasa mencukupi.

“Kementerian ini juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga secara keterlaluan. Jika ada pihak yang didapati melanggar perundangan berkaitan mereka akan dikenakan tindakan yang tegas,” katanya.

Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada KPDN melalui WhatsApp di 019-2794317 atau 019-8488000; portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my; pusat panggilan 1-800-886-800; emel [email protected] dan Ez ADU KPDN.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS