PARLIMEN l Janji Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) tidak dapat ditunaikan.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi Mohd Khaled Nordin (BN-Kota Tinggi), undang-undang itu masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti.

Dia memberitahu Dewan Rakyat bahawa proses pemansuhan undang-undang itu memerlukan kajian mendalam kerana ia melibatkan undang-undang lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Pendidikan 1996 dan Akta Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000.

Khaled Nordin (BN-Kota Tinggi)

Bagaimanapun, Khaled berkata kerajaan terbuka untuk menambah baik Auku dan sentiasa melibatkan pihak berkepentingan.

“Auku telah dipinda sebanyak tujuh kali sejak ia diwartakan pada 1971. Pindaan terakhir ialah pada 2019,” katanya.

Khaled berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu jika kerajaan akan menggantikan AUKU yang berusia 52 tahun dengan undang-undang yang lebih kontemporari.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang)

PH telah berjanji untuk memansuhkan Auku sebagai sebahagian daripada janji pilihan rayanya. Matlamatnya adalah untuk memberikan lebih banyak autonomi kepada universiti dan institusi pengajian tinggi.

"Auku akan dimansuhkan dan pelajar, pensyarah dan alumni akan diiktiraf sebagai pihak berkepentingan yang sebenar," petik buku Kita Boleh! Dokumen Pelan Tindakan PRU15 PH.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kerajaan sekarang - terdiri daripada Pakatan Harapan, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah - akan menerima sepenuhnya manifesto pilihan raya PH.

Petikan dari manifesto PH

Dalam bentuk semasa, Auku memberikan kuasa yang luas kepada menteri yang bertanggungjawab untuk memutuskan pelantikan utama bagi universiti seperti jawatan naib canselor.

Gambar Hiasan - Demo menentang AUKU

Pengkritik mendakwa undang-undang ini membenarkan menteri melantik naib canselor tanpa mengambil kira merit dan sekali gus menjejaskan autonomi universiti.

Pentadbiran Dr Mahathir Mohamad (2018-2020) mempunyai rancangan untuk memansuhkan Auku dan menggantikannya dengan undang-undang baru menjelang 2020 tetapi tempoh mereka dipendekkan.