Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said akan bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) itu menyerahkan borang pencalonannya di ibu pejabat Umno Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu disahkan menerusi gambarnya menyerahkan borang tersebut kepada kakitangan ibu pejabat Umno yang disiarkan di Umno Online.

Dengan perkembangan itu, pemilihan Umno akan datang kini akan menyaksikan pertembungan lapan penjuru untuk tiga jawatan naib presiden.

Penyandang Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid mengumumkan akan mempertahankan jawatan mereka, manakala Ismail Sabri Yaakob masih belum membuat keputusan.

Selain dua penyandang itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Agung Umno Zambry Abdul Kadir, bekas menteri besar JohorHasni Mohammad, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Reezal Merican Naina Merican serta Ahli Parlimen Titiwangsa Johari Ghani juga akan bertanding jawatan naib presiden.

Pemilihan bagi jawatan naib presiden, jawatan majlis tertinggi dan jawatan jawatankuasa bahagian akan diadakan pada 18 Mac.

Perhimpunan agung Umno bulan lepas menerima pakai ketetapan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden.