Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan tak akan teruskan projek kolam renang awam di Muar
Diterbitkan:  Feb 28, 2023 1:01 PM
Dikemaskini: 5:01 AM

Kerajaan tidak berhasrat untuk meneruskan rancangan membina kolam renang awam di Muar, Johor yang telah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek itu terpaksa dibatalkan kerana peruntukan yang tidak mencukupi dan kos operasi serta penyelenggaraan yang tinggi.

"Bagaimanapun, KBS sedia memberikan pertimbangan terhadap permohonan untuk membina sebuah kolam renang di Muar tertakluk kepada keperluan dan peruntukan tambahan pada masa akan datang," katanya menjawab soalan dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar).

Terdahulu Syed Saddiq meminta Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan mengapa kolam renang awam yang telah diluluskan dalam pelan "Hub Anak Muda" Muar dikeluarkan pada minit-minit terakhir pelaksanaan projek.

Dia juga bertanya apakah kerajaan berhasrat untuk meneruskan projek kolam renang awam tersebut untuk kegunaan rakyat Muar

Selasa lalu, Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek kolam awam itu mendapat kelulusan kerajaan pada 2019 dan 2020 tetapi dibatalkan oleh kerajaan berikutnya.

Katanya kolam renang itu diluluskan dalam pelan "Hub Anak Muda" kerana tiada kolam renang awam di sekitar Muar, Ledang, Bakri dan Pagoh.

Pada masa itu, Yeoh memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan negeri tidak mahu menanggung kos penyelenggaraan kolam berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS