Pulau Pinang melantik Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Lee Khai Loon, Fadhlina Sidek dan Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebagai 'Adun angkat' susulan pengosongan empat kerusi dewan undangan negeri (DUN) bagi kawasan Bertam, Seberang Jaya, Sungai Acheh dan Teluk Bahang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata empat ‘Adun angkat’ itu dilantik berdasarkan kawasan paling hampir dengan likasi terbabit dalam usaha untuk menguruskan masalah yang dihadapi pengundi di kawasan itu.

“Sebenarnya apabila empat Adun (Bersatu) itu keluar PH pada 2020, kami telah lantik yang baru.

"Cuma setiap tahun kami kemas kini untuk mengambil perubahan itu sebagai pengiktirafan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pasar Chowrasta, George Town, sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini.

Chow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata tindakan melantik ‘Adun angkat’ bagi membolehkan rakyat dan pengundi di terbabit tidak berasa terpinggir, selain mereka tetap dilindungi oleh kerajaan negeri dengan peruntukan sama di kawasan masing-masing.

Menurutnya Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merupakan wakil rakyat Pinang Tunggal akan menjaga DUN Bertam, Lee (Adun Machang Bubok) akan menjaga Sebarang Jaya, Muhammad Bakhtiar (Ahli Parlimen Balik Pulau) akan menguruskan Teluk Bahang manakala Fadhlina (Ahli Parlimen Nibong Tebal yang juga menteri pendidikan) diberi tugas menjaga Sungai Acheh.

Pada Isnin lalu, DUN Pulau Pinang meluluskan usul bagi mengisytiharkan pengosongan empat kerusi terdiri daripada empat adun Bersatu iaitu Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Zulkfili Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).

Mereka turut diarah keluar meninggalkan sidang DUN pada sebelah tengah hari selepas usul itu diluluskan.

Speaker Law Choo Kiang turut memaklumkan sesuatu kekosongan luar jangka kerusi DUN tidak boleh diisi memandangkan DUN akan terbubar kurang daripada dua tahun.

Untuk rekod pada 16 Dis lepas, Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN berkenaan untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN Pulau Pinang daripada meluluskan usul undang-undang antilompat parti.

- Bernama