Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bercadang untuk menambah hukuman bagi kesalahan membabitkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kata Teo Nie Ching.

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital itu, kajian akan dibuat untuk mencari kaedah yang lebih baik bagi mengawal platform media sosial.

Ia berkaitan platform yang dilihat berisiko menjadi medium menyebarkan berita palsu dan bahan bersifat menghasut.

“Memang KKD sekarang dalam usaha nak kaji semula seksyen 233 supaya pindaan boleh dibuat bagi memberi kuasa yang besar kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia).

“Antara cadangan yang diterima ialah kita nak tambah atau naikkan hukuman yang boleh dikenakan di bawah seksyen ini kalau kita rasa platform media sosial merupakan satu perkara membahayakan," katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut ahli parlimen Kulai itu lagi KKD akan menjalankan kajian bagi membolehkan pengguna media sosial - terutama generasi muda - mempunyai kesedaran untuk tidak membuat sesuatu yang tidak wajar seperti memainkan sentimen perkauman atau menghasut.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia melibatkan kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bertanya sama ada KKD akan melakukan pindaan terhadap Seksyen 221 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Sampai bila kita nak bagitahu kita (kerajaan) tak ada kuasa?

"Kalau ini berlaku, pembinaan karakter anak-anak muda akan hadapi masalah sebab mereka dimasukkan dengan maklumat-maklumat yang salah untuk tujuan tertentu, dan apa langkah kementerian buat untuk pastikan kesuburan pemikiran generasi mendatang?” soal Mohd Shahar.

Mengulas lanjut, Teo berkata selain memperkasakan akta berkenaan, peranan pengawasan turut perlu dimainkan oleh semua pihak.

“Jadi saya rasa itu bukan saja tanggungjawab KKD atau SKMM.

"Program kesedaran memang selalu dijalankan tapi kami (KKD) juga perlu penglibatan kepada semua pihak - kementerian yang berkenaan, ibu bapa dan masyarakat - untuk sampaikan mesej kepada mereka (generasi muda) supaya tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara ini,” kata Teo.

Mahu terendah di Asean

Sementara itu, dalam isu berasingan, Teo berkata KKD percaya kadar harga internet di negara ini boleh diturunkan lagi dengan proses naik taraf capaian internet ke 5G.

Sebagai menjawab soalan daripada Lim Guan Eng (PH-Bagan), Teo berkata demikian dengan membuat perbandingan kadar harga capaian internet buat masa ini.

“Saya nak bagi satu perbandingan, setakat ni kalau kos 5G kepada pengguna adalah RM1.68 sen per gigabit, ini adalah harga kepada pengguna.

“Tapi setakat ini, harga capaian 5G buat masa ini menggunapakai harga yang digunapakai oleh DNB (Digital Nasional Bhd) melalui tawaran akses rujukan (RAO).

"Kalau ikut tawaran itu, kos untuk 5G sekarang adalah 30 per Gbps setiap bulan ataupun 13 sen per gigait.

“Jadi memang kami percaya dengan liputan rangkaian 5G diperluaskan, harga untuk internet kita boleh diturunkan lagi," kata Teo.

Lim dalam soalannya bertanya berhubung kos dan kualiti perkhidmatan 5G yang ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi kepada pengguna dan apakah usaha untuk mengurangkannya lagi sehingga ia merupakan terendah di Asean.

Untuk rekod, kerajaan kini sedang mengkaji semula kontrak rangkaian 5G bernilai RM11 bilion yang dianugerahkan oleh DNB kepada gergasi telekomunikasi Sweden Ericsson di bawah kerajaan terdahulu.

Lihat Komen
ADS