Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Bekas menteri, Shahidan Kassim, mencadangkan agar kerajaan melantik menteri agama sebagai mufti besar bagi negara ini untuk menguruskan pentadbiran Islam di Malaysia, termasuk kebenaran menyampaikan ceramah.

Kata ahli parlimen PN-Arau itu di negara lain ada tokoh agamawan yang dijadikan mufti besar dan dia menyelaraskan keseluruhan hal ehwal berkaitan Islam.

Berucap semasa membahaskan Belanjawan 2023 hari ini Shahidan berkata pada dasarnya Islam adalah sama di mana-mana tempat pun, namun ia dibezakan oleh urusan pentadbiran.

“Di Indonesia tak ada masalah… di seluruh dunia ada mufti besar (grand mufti).

"Kita (Malaysia), kita ada mufti dari negeri-negeri dan (disebabkan itu) timbul masalah apabila negeri mengenakan syarat-syarat tertentu untuk sesuatu perkara.

"Contohnya seperti (kebenaran) ceramah dan sebagainya. Ada negeri ni benarkan, negeri lain tak benarkan. Ini tak manis," katanya.

Justeru Shahidan yang pernah menjadi Menteri Besar Perlis berkata, dia berpendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, wajar dijadikan mufti besar Malaysia.

Mohd Na’im Mokhtar

"Saya rasa dia tak wajar jadi menteri, dia patut jadi grand mufti. Dia hebat, saya kesian kepada dia (kerana) jadi menteri agama.

"Justeru carilah jalan bagaimana nak selesaikan, nak selaraskan masalah agama,” katanya lagi.

Shahidan turut menyentuk isu Beting Patinggi Ali di Sarawak serta ancaman terhadap kedaulatan negara yang berdepan dengan kuasa besar China.

Ajak Sarawak bersama PN

Justeru Shahidan - yang kini menjadi ahli parlimen PAS-PN - bertanya sama ada wujud aset negara bagi memantau pergerakan kapal asing di perairan tersebut.

Pada masa sama dia menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas sama seperti yang dilakukan oleh Indonesia di Kepulauan Natuna.

“Kita tengok kawan kita di sempadan iaitu Kepulauan Natuna, mereka (China) tak boleh sentuh langsung sebab kerajaan di sana (Indonesia) akan mengejar mereka keluar, tapi mereka (China) ada di Beting Patinggi Ali dari 2013, sampai sekarang kita tak ambil tindakan.

“Kita kena perjuangkan… orang Sarawak kena bersama dengan kami (PN) untuk meminta kerajaan pusat ambil tindakan tegas ke atas kapal pengawal yang sudah berada di Beting Patinggi Ali.

“Kita nak kerajaan buktikan kepada orang Sarawak yang kita mampu jaga keselamatan Sarawak dengan mengambil tindakan kepada (pencerobohan) di Beting Patinggi Ali,” katanya.

Pada Jan lalu, Kementerian Pertahanan (Mindef) menjelaskan Beting Patinggi Ali adalah milik Malaysia dan kerajaan tidak pernah mengiktiraf sebarang tuntutan daripada mana-mana pihak memandangkan ia berada dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Mindef memaklumkan dari sudut geografi, Beting Patinggi Ali terletak di kedudukan 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri dan dalam kawasan perairan ZEE Malaysia.

Lihat Komen
ADS