ULASAN | Kisah masyarakat India yang terpinggir bukanlah kisah baru, namun sering dilepas pandang. Analisis-analisis PRU15 setakat ini banyak memfokuskan kepada dua komuniti terbesar di Semenanjung Malaysia.
Mereka terlepas pandang peralihan sokongan yang penting ini. Berdasarkan pilihan raya negeri sebelum PRU15, peralihan sokongan terbesar (dari segi peratusan undian) adalah di kalangan masyarakat India.
Artikel ketiga dalam analisis undian etnik PRU15 ini melihat kepada pengundian masyarakat India, baik dari segi kadar keluar mengundi dan juga sokongan, serta impaknya terhadap pilihan raya umum 2022. Kerangka untuk melihat corak undi orang India adalah menerusi PRN Melaka 2021, PRN Johor 2022 dan PRU14. Dalam semua pilihan raya berkenaan, undi masyarakat India adalah penting dalam membentuk keputusan pilihan raya. (Untuk analisis pra-PRU15, lihat sini)
Meskipun dengan populasi yang lebih kecil berbanding kumpulan lain, masyarakat India menjadi penentu yang membentuk keputusan akhir PRU15, melonjakkan calon PH.
Coraknya jelas: Orang India Malaysia beriltizam untuk menjadikan negara ini lebih kuat. Mereka giat mencari perwakilan dan tadbir urus yang lebih baik menerusi pilihan raya bagi menangani isu-isu serius yang membelenggu masyarakat mereka. Mereka menukar sokongan dan memanfaatkan kuasa kecil yang mereka ada menerusi kotak undi.
Saya mulakan dengan sedikit peringatan berkenaan statistik. Memandangkan masyarakat India adalah kecil di beberapa kawasan, peratus perubahan keseluruhan untuk anjakan bilangan yang kecil adalah dikira tinggi. Jadi, seperti ditekankan sebelum ini, dalam mentafsirkan anggaran sokongan, adalah penting untuk melihat pola/corak dan bukan angka mutlak.
Kedua, langkah berjaga-jaga telah diambil bagi memastikan sampel adalah stabil dengan mengambil kira saiz sampel yang kecil di beberapa kawasan. Kerana itulah analisis impak pilihan raya di sini memberi perhatian kepada peringkat nasional/negeri dan di kawasan-kawasan yang lebih ramai orang India, di mana orang India menyumbang lebih 10 peratus dari jumlah undi.
Keluar mengundi
Sudut pandang pertama yang dilihat adalah kadar keluar mengundi. Seperti masyarakat lain di Malaysia, kadar keluar mengundi bagi masyarakat India merosot kepada anggaran 73 peratus. Seperti ditunjukkan semalam, ia tidaklah signifikan berbanding PRU2018, iaitu penurunan sebanyak 9 peratus.
Bagaimanapun, penting untuk diambil perhatian bahawa kadar keluar mengundi PRU15 berbeza dari pilihan-pilihan raya negeri. Dalam PRN Melaka pada 2021, kadar keluar mengundi orang India mencecah 75 peratus. Pada PRU15, angka yang dicatat adalah 79 peratus, menurun dari angka 87 peratus dicatat negeri itu pada PRU14.
Johor pula menyaksikan peralihan sokongan yang signifikan. Dianggarkan 81 peratus pengundi India keluar mengundi pada PRU14 di negeri itu. Kadar itu menurun dengan mendadak ke 47 peratus pada PRN 2022 sebelum naik sedikit ke 62 peratus pada PRU15 – tetapi masih dikira rendah.
Ini mencerminkan penyusutan/peralihan ketara dalam gerakan serta rasa tidak puas hati dalam diam di kalangan masyarakat India, sama ada berkaitan pilihan yang mereka ada mahupun libat urus politik dalam pilihan raya.
Perubahan ini tampak jelas berlaku di banyak negeri ketika PRU15 – perubahan lebih tinggi berlaku di Selangor dan Perlis dan lebih rendah di Kelantan dan Johor.
Negeri yang menyaksikan keterlibatan kaum India yang lebih baik adalah di Pulau Pinang – dengan anggaran kadar keluar mengundi meningkat dari 68 peratus pada PRU14 menjadi 77 peratus pada PRU15 – serta KL/Putrajaya, meningkat dari 71 peratus ke 77 peratus.
Iktibar daripada peratusan keluar mengundi ini adalah jelas; apabila masyarakat India dihargai dalam politik, diiktiraf, dimobilisasi dan didengar, mereka akan mengambil bahagian dalam bilangan lebih ramai.
Gambaran jelas tentang padah apabila mereka merasa dipinggirkan adalah di Padang Serai di Kedah (yang diadakan selepas PRU15), apabila peratusan keluar mengundi jatuh selepas pembentukan kabinet Anwar, dengan hanya seorang pemimpin India dilantik sebagai menteri (yang mana Anwar terlupa menyebut namanya dalam sidang media pengumuman kabinet).
Peralihan undi India agak besar
Dianggarkan sokongan orang India kepada PH kekal pada angka 81 peratus di kedua-dua PRU14 dan PRU15.
BN pula berdepan penurunan sokongan secara sederhana, dari 18 peratus ke 16 peratus. Perubahan ini menggambarkan kelemahan Umno/BN dan pengurusan kempen yang teruk semasa PRU15 oleh Zahid Hamidi. Rasa benci terhadap kepemimpinan Zahid dalam BN telah menghakis sokongan rakyat.
Bagaimanapun, dapatan PRU mengaburi perubahan ketara dalam pola pengundian kaum India. Bagi memahami seberapa banyak peralihan undi orang India, kita harus melihat pada pilihan raya negeri.
Sokongan orang India terhadap PH pada PRU15 meningkat dua kali ganda berbanding PRN-PRN sebelumnya, iaitu meningkat dari anggaran 41 peratus semasa PRN2022 di Johor, dan dari anggaran 46 peratus dalam PRN2021 di Melaka.
Sokongan orang India terhadap BN pada PRU15 pula merosot teruk. Di Johor, ia merudum ke anggaran 21 peratus manakala di Melaka ke angka 19 peratus.
Ciri lain yang tidak boleh diabaikan adalah prestasi sangat teruk PN di kalangan orang India – kosong sokongan di peringkat nasional, walaupun mereka ada meraih sokongan kecil di beberapa negeri.
Anggaran 13 peratus sokongan yang diraih di Johor lebur dek kempen PRU15 yang berunsurkan perkauman. Ini mencerminkan polarisasi etnik dalam pilihan raya di seluruh negara. Orang India marah dengan kempen retorik ekstrem dibawa PN.
Variasi di Semenanjung Malaysia
Di negeri-negeri Semenanjung, sokongan paling tinggi orang India semasa PRU15 adalah buat PH di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Pulau Pinang dan Selangor, dengan masing-masing negeri mencatat anggaran undi 92 peratus, 87 peratus dan 84 peratus.
Pun begitu, menarik sekali apabila sokongan India buat PN juga adalah paling tinggi di Pulau Pinang (8 peratus) diikuti Kedah (6 peratus, di mana PN menunjukkan prestasi terbaiknya dalam meraih sokongan baru).
Sokongan orang India buat BN pula adalah tertinggi di Pahang dengan anggaran 39 peratus dan paling rendah di Selangor dengan satu peratus sahaja.
Iktibar daripada sokongan pilihan raya masih serupa; apabila masyarakat India dihargai dalam politik, diiktiraf, didengar, dan kebimbangan mereka ditangani, mereka akan menyokong anda. Pada PRN Melaka dan Johor, mereka menerima perhatian yang lebih besar dari BN dan PN.
Sokongan orang India berubah pada PRU15. Di negeri-negeri yang dahulunya diterajui Umno, tiada tindakan lanjut dilakukan untuk mereka dan wira buat ramai masyarakat India, Najib Razak yang benar-benar ada rangka tindakan bagi menangani kebimbangan mereka, digantikan pula dengan seorang pemimpin Umno yang tiada tapak sokongan kukuh di kalangan orang India.
PN pula dengan kempen etnonasionalis Melayu yang bersifat meminggir, ditolak secara terang-terangan oleh masyarakat India.
Bagaimana sokongan India memberi kesan dalam PRU15
Pada PRU15, orang India kembali menyokong PH dengan harapan untuk melihat perubahan dan memiliki kerajaan yang lebih responsif dalam menangani cabaran yang membelenggu mereka selama ini.
Masyarakat India merangkumi 6.6 peratus populasi warga Malaysia dan 7.2 peratus pemilih, atau 1.5 juta pengundi. Pengaruh mereka besar di 22 kerusi yang mana mereka merangkumi lebih 10 peratus undi. PH memenangi 18 dari kerusi-kerusi ini. Di semua kerusi ini, sokongan orang India adalah penting, lebih-lebih lagi dengan pertembungan sengit antara tiga gabungan. Sokongan masyarakat India adalah berbeza-beza, lebih tinggi di Ipoh Barat dan lebih rendah di Teluk Intan, di mana tiada calon Adun India dipertaruhkan DAP seperti kelaziman dahulu.
Ada dua kerusi yang menyaksikan undi orang India memberi impak besar. Pertama adalah parlimen Kuala Selangor, di mana sokongan orang India penting dalam mengekalkan kemenangan penyandang Dzulkefly Ahmad yang dicabar Tengku Zafrul Aziz.
Kerusi kedua adalah parlimen Bagan Datok, di mana Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menang begitu tipis. Kadar keluar mengundi di sini merudum dan tahap sokongan buat PH adalah lebih rendah berbanding di peringkat nasional, menunjukkan terlepasnya peluang bagi PH memenangi kerusi ini.
Ironi sekali, dua pemimpin yang ditolak pengundi India di dua kerusi ini dilantik dalam kabinet kerajaan baru. Di tiga lagi kerusi yang mempunyai jumlah pengundi India yang signifikan, dua dimenangi tsunami Melayu PN – Kuala Langat dan Padang Serai – manakala Rembau dimenangi atas faktor populariti Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Pencarian kerajaan yang lebih baik
Corak pengundian orang India pada pilihan raya lalu menunjukkan mereka boleh mengubah sokongan. Sikap endah tidak endah terhadap kebimbangan mereka akhirnya dibalas di kertas undi, dan perkara ini berkemungkinan akan berulang lagi. Mengabaikan masyarakat India bermakna menempah risiko dalam pilihan raya.
Di Selangor contohnya, gesaan demi gesaan untuk program yang dapat menangani kerentanan kaum India masih dipandang sepi meskipun kertas-kertas cadangan telah dihantar kepada kerajaan negeri.
Kekecewaan turut dirasakan di peringkat nasional. Dengan pelbagai masyarakat yang wujud di Malaysia, adalah perlu untuk memahami konteks dan keadaan budaya yang dihadapi kumpulan-kumpulan berbeza dalam masyarakat. Wujud perasaan yang kuat di kalangan sebahagian orang India bahawa kerajaan Anwar meminggirkan mereka.
Isu-isu yang memberi kesan kepada kerentanan masyarakat India nampaknya seperti diabaikan, dari kemiskinan sehinggalah isu pendidikan. Contohnya, meskipun wujud gesaan agar siasatan lebih padu dijalankan menerusi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia di Parlimen, nampaknya tiada tindakan diambil buat masa ini.
Bulan lalu, seorang lelaki India berusia 35 tahun mati dalam tahanan, memanjangkan lagi rentetan corak kes kematian dalam tahanan melibatkan masyarakat itu. Ia menggambarkan kebimbangan berterusan berkenaan diskriminasi sistemik yang terpaksa dihadapi masyarakat India secara keseluruhannya.
Setakat ini, asas politik penting buat PH ini seperti diambil mudah. masyarakat India terus berharap, seperti masyarakat lain juga. Soalnya, berapa lama mereka sanggup menunggu? Sejarah menunjukkan mereka boleh beralih sokongan dalam pilihan raya. Dan sekali mereka beralih sokongan, mereka beralih pada kadar yang besar.
BRIDGET WELSH ialah Penyelidik Kehormat Institut Kajian Asia Malaysia (Unari) Universiti Nottingham. Dia juga penyelidik kanan di Hu Fu Centre for East Asia Democratic Studies dan felo kanan di The Habibie Centre. Penulisannya boleh didapati di bridgetwelsh.com. Ikuti siri podcastnya, Kerusi Panas.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.