Kempen Proklamasi Orang Melayu digerakkan Dr Mahathir Mohamad kini berlangsung secara dalam talian selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.

Dalam kenyataan hari ini, sekretariat pergerakan itu berkata, kempen dalam talian tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada orang Melayu tentang agenda pergerakan itu untuk bangsa dan negara.

“Kempen ini akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara,” katanya.

Turut terdapat dalam kenyataan itu ialah kod QR untuk diimbas dan pengguna dibawa ke borang Google Docs yang mendakwa bahawa orang Melayu telah dipinggirkan di negara ini, dan dilucutkan kuasa politik.

“Orang Melayu tidak lagi boleh menentukan nasib mereka sekarang dan pada hari-hari akan datang.

“Ini disebabkan oleh kecuaian pemimpin Melayu sendiri,” kata beberapa perkara yang disenaraikan dalam dokumen itu.

Seterusnya, kenyataan itu juga menyeru orang Melayu supaya mengetepikan kepentingan peribadi dan politik demi bangsa sendiri.

Berikutan pembatalan perhimpunan yang dirancang, Mahathir menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai “penindas” selepas bekas perdana menteri itu menganggap kerajaan sebagai dalang di sebalik kegagalan mereka berhimpun.

Mahathir bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.

[Baca berita penuh]